fbpx

Peniaga nasi lemak didenda RM8,000, simpan pelekat gigi palsu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TERTUDUH diiringi anggota polis selepas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, Melaka, hari ini. -foto oleh MUHAMMAD SHAHIZAM TAZALI/ KOSMO!

MELAKA – Padah menyimpan pelbagai barangan curi termasuk mentega kacang dan produk pelekat gigi palsu, seorang peniaga nasi lemak didenda RM8,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.

Hakim Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap Wan Azrul Affendy Yunos, 48, yang membuat pengakuan bersalah sejurus pertuduhan pilihan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati dengan niat curang telah menerima harta curi keseluruhan berjumlah RM8,000 kepunyaan kedai Watson cawangan Taman Paya Rumput Utama, pasar raya Econsave cawangan Lebuh Ayer Keroh dan Sungai Udang serta kedai 99 Speedmart Batu Berendam.

Perbuatan itu dilakukan kira-kira pukul 1.20 petang di sebuah rumah di No S1 118, Jalan Ayer Molek Perdana 5, Taman Ayer Molek Perdana dalam daerah Melaka Tengah.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan.

Mengikut fakta kes, tertuduh ditangkap di sebuah chalet di Pengkalan Balak, Alor Gajah susulan hasil siasatan pihak polis berhubung kejadian curi di beberapa buah pasar raya.

Antara barangan dicuri adalah mentega kacang, pencuci muka, ubat gigi, pelekat gigi palsu, pewangi badan, minyak wangi, coklat dan minyak rambut bernilai keseluruhan RM8,000 yang dirampas daripada tertuduh.

Hasil siasatan, tertuduh mengaku membeli semua barangan curi itu daripada dua lelaki termasuk seorang warga Indonesia sebelum menjualnya secara dalam talian.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin memohon agar hukuman berat diberikan sebagai pengajaran terhadap tertuduh dan masyarakat.

Peguam Lailawati Husain yang mewakili tertuduh bagaimanapun merayu hukuman diringankan dengan alasan anak guamnya telah insaf selepas direman 11 hari ketika siasatan kes itu bermula 25 Julai 2021, selain itu kesalahan pertamanya.

Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak mahkamah kemudian memerintahkan tertuduh membayar denda sebanyak RM8,000 atau penjara 12 bulan jika gagal bayar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI