fbpx

Minum banyak air ketika cuaca panas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pengunjung menggunakan payung ekoran cuaca panas ketika tinjauan di Batu Caves, Gombak semalam. FOTO SYAKIR RADIN

“SEKARANG ini pukul 10 pagi pun rasa panas seperti 12 tengah hari. Naik motosikal rasa macam kena ‘bakaq’ (bakar).”

Itu antara keluhan yang keluar daripada mulut salah seorang rakan penulis sebaik melangkah masuk ke dalam pejabat berpendingin hawa.

Kata-katanya itu ada benarnya memandangkan Jabatan Meteorologi Malaysia baru-baru ini mengeluarkan amaran mengenai cuaca panas di Semenanjung, terutamanya di utara dan Pantai Timur.

Cuaca panas itu bakal menyaksikan peningkatan suhu pada tahap satu iaitu antara 35 hingga 37 darjah Celsius sehingga Ogos susulan peralihan monsun.

Rentetan itu, orang ramai disaran supaya mengambil langkah berjaga-jaga termasuk minum air kosong secukupnya bagi memastikan tubuh kekal terhidrat dalam tempoh sukar ini.

Masyarakat juga disaran meminimumkan aktiviti luar, terutamanya ketika waktu tengah hari bagi mengurangkan pendedahan pada cuaca panas.

Mereka yang terdedah kepada cuaca panas melampau dalam tempoh lama akan mengundang risiko kepada kesihatan terutamanya keletihan haba atau strok haba.

Hal ini kerana, tubuh badan manusia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan perubahan suhu yang terlalu mendadak.

Antara golongan yang paling berisiko mengalami masalah strok haba adalah kanak-kanak kerana sistem saraf mereka belum berkembang sepenuhnya.

Justeru, ibu bapa perlu mengawasi dan menasihati anak-anak mereka supaya mengambil langkah perlu bagi mengelakkan diri daripada mengalami strok haba.

Ibu bapa juga perlu menasihati anak-anak supaya minum air secukupnya dan elakkan diri daripada bermain ketika waktu panas.

Biasalah kanak-kanak kalau sudah seronok bermain, kadang-kadang mereka tidak peduli lagi dengan keadaan cuaca sama ada panas atau hujan. Selain itu, ibu bapa perlu peka dengan tanda-tanda atau simptom sekiranya anak mereka mengalami masalah strok haba.

Menurut laman web Health Digest, antara simptom strok haba adalah kulit terasa panas, suhu badan melebihi 40 darjah Celsius, pertuturan tidak jelas, berpeluh dengan banyak dan pernafasan menjadi laju.

Justeru, penulis sangat menyokong usaha dilakukan oleh Kementerian Pendidikan yang menyarankan murid dan guru supaya berpakaian sukan sewaktu pembelajaran di sekolah kerana ia akan menjadikan mereka lebih selesa.

Pihak sekolah juga disaran supaya memastikan kipas di sekolah berfungsi dengan sempurna, kerana ada sekolah yang kipasnya sangat uzur siap pakej bergoyang dan berbunyi lagi. Aktiviti luar murid juga perlu dihadkan termasuk menangguhkan hari sukan atau program kokurikulum buat sementara waktu.

Hakikatnya, cuaca panas melampau ini berlaku disebabkan oleh penipisan lapisan ozon yang berfungsi menyerap sinaran ultra ungu berbahaya supaya tidak memasuki ruang dan permukaan bumi.

Penipisan lapisan ozon ini berlaku disebabkan pembebasan gas rumah hijau ke udara hasil daripada tangan-tangan jahat manusia sendiri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI