KUALA LUMPUR – Malaysia sedang mengadakan rundingan menerusi saluran diplomatik dengan beberapa buah negara bagi mempercepatkan proses membawa pulang ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, proses berkenaan namun agak rumit kerana melibatkan beberapa negara termasuk aspek perisikan dan Polis Antarabangsa (Interpol).
“Benar, sudah tentu (mahu bawa pulang Jho Low secepat mungkin). Kita sedang berunding dengan beberapa negara untuk mempercepatkan proses membawa pulang Jho Low.
“Negara terlibat memberi kerjasama dan membantu,” katanya ketika ditemui pemberita pada Majlis Pelancaran Sambutan Ulang Tahun Ke-75 dan Perasmian Ibu Pejabat Kebangsaan Bulan Sabit Merah Malaysia, di sini hari ini.
Anwar yang juga Menteri Kewangan bagaimanapun enggan mengesahkan atau mengulas sama ada Jho Low kini berada di China. – KOSMO! ONLINE