fbpx

Komplot bunuh ahli perniagaan, kes dirujuk TPR

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mayat mangsa yang ditemui masih lengkap berpakaian dengan kedua-dua tangan diikat dan kesan jerutan tali kabel dalam sebuah bagasi.

KAJANG – Kes pembunuhan membabitkan seorang ahli perniagaan yang dijerut leher lalu disumbat mayatnya ke dalam bagasi dirujuk ke Timbalan Pendakwa Raya (TPR), hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd Zaid Hassan berkata, sebarang perkembangan berhubung kes tersebut akan dimaklumkan.

“Kertas siasatan dirujuk ke TPR hari ini dan perkembangan semasa akan dimaklumkan kelak,” katanya ringkas dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang kontraktor merancang komplot bunuh ahli perniagaan yang juga pemilik rangkaian klinik swasta di Kajang, baru-baru ini.

Lelaki berusia lewat 30-an itu bukan sahaja memeras ugut wang RM228,000 malah turut bersubahat dengan empat individu lain untuk menamatkan riwayat mangsa pada 26 April lalu.

Komplot membunuh lelaki berusia 41 tahun itu dipercayai bagi mendapatkan wang membiayai kos perundangan berkaitan kes dadah yang dihadapinya.

Helah itu bagaimanapun terbongkar menerusi penahanan lima suspek termasuk dua wanita berusia 22 hingga 40 tahun di sekitar Kajang dan Ampang, kira-kira pukul 4 petang, 27 April lalu.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dipetik berkata, siasatan mendapati mangsa yang masih bujang menemui suspek utama di sebuah restoran di Semenyih, kira-kira pukul 11 pagi hari kejadian sebelum diperdaya dan menaiki kereta suspek ke sebuah lokasi atas alasan perniagaan.

Rententan itu, kata beliau, polis kemudiannya menerima laporan daripada seorang lelaki yang merupakan rakan serumah mangsa berusia 36 tahun dan ahli keluarga mangsa.

Ujar Hussein, polis yang menjalankan siasatan kemudiannya berjaya menahan lima termasuk dua wanita selain merampas 12 telefon bimbit termasuk salah satu kepunyaan mangsa.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui masih lengkap berpakaian dengan kedua-dua tangan diikat dan kesan jerutan tali kabel dalam sebuah bagasi.

“Hasil bedah siasat pakar patologi Hospital Serdang mendapati kematian berpunca kecederaan jerutan pada leher yang menyebabkan saluran pernafasan tersekat.

“Kes yang pada awalnya disiasat mengikut 385 Kanun Keseksaan kini diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 kanun sama,” jelasnya.- KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI