SEREMBAN – Dua beradik maut selepas motosikal yang dinaiki terbabit nahas dengan sebuah lori dalam kejadian di Kilometer 257.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah selatan, di sini pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kedua-dua mangsa yang meninggal dunia di lokasi kejadian itu dikenali sebagai Mohd. Husaini Amir Harun, 29, (penunggang motosikal) dan adiknya (pembonceng), Muhammad Amirul Syafiq Harun, 25.
Jelas Nanda, siasatan awal mendapati, kejadian berlaku lebih kurang pukul 7.05 pagi apabila sebuah lori jenis Hino membawa muatan makanan haiwan yang dipandu seorang lelaki berumur 49 tahun seorang diri sedang bergerak di lorong kiri lebuh raya itu dari arah Pulau Pinang menuju ke Melaka.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, datang sebuah motosikal jenis Yamaha yang ditunggang oleh seorang lelaki bersama bersama pembonceng dari arah lorong kecemasan telah mengubah haluan masuk ke lorong kiri dan melanggar bahagian belakang lori tersebut.
“Kedua-dua mangsa yang beralamat di Kuala Terengganu, cedera parah di kepala serta badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian manakala pemandu lori tidak mengalami kecederaan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Tambah beliau. kedua-dua mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS) untuk pengendalian bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE