MENITI kembara hampir empat dekad dalam industri muzik banyak menyimpul rantaian suka duka yang sentiasa mengekori langkah Ella sehingga ke hari ini.
Banyak cerita disimpan dalam diari kehidupannya yang selama ini diakui pemilik nama sebenar Nor Zila Aminuddin itu hanya menunggu masa untuk dikongsikan.
Nyata impian dipendam sejak beberapa tahun lalu akhirnya direalisasikan dengan penghasilan naskhah autobiografi berjudul Rockers Juga Manusia Bahagian 1.
Insan penting, tersayang
Selain insan tersayang, autobiografi bahagian pertama tersebut sebuah rakaman pengalaman bersama individu penting dalam jalur kerjayanya.
Bukan helaian kosong, sebaliknya setiap inti pati pengisian merujuk kepada pengalaman atau kisah yang dekat dengan peminat.

“Sudah lama saya ingin tampil dengan naskhah sebegini kerana banyak cerita yang belum pernah didedahkan kepada umum, mahu saya kongsikan.
“Rockers Juga Manusia adalah manifestasi saya terhadap nilai persahabatan dengan pihak yang menyokong saya sejak bersama band Ella & The Boys lagi.
“Buku ini juga ditulis ringkas dengan bahasa mudah seperti yang saya inginkan dalam menzahirkan penceritaan dan beri suntikan semangat buat orang muda,” ungkap Ella.
Bongkar gosip
Enggan menyembunyikan perihal kontroversi serta gosip hubungan dengan beberapa personaliti popular, semua cerita tersebut juga dimuatkan dalam manuskrip setebal 160 muka surat tersebut.
“Ikutkan keseluruhan buku ini mempunyai 10 bab yang turut menyertakan 90 keping gambar saya sejak awal bergelar penyanyi.
“Ada juga mengenai desas-desus saya dengan seorang pemain badminton negara.
“Tidak kurang yang bertanya mengenai imej saya dalam naskhah tersebut apabila kebanyakannya memaparkan imej lama saya tanpa hijab.
“Bagi saya itu Ella yang lampau, jadi tidak perlu dijadikan sebagai isu. Kita tak boleh nafikan suatu ketika saya tidak bertudung.
“Cuma apa yang mahu dipaparkan dalam buku itu adalah rasa cinta saya kepada semua,” katanya yang menangkis telahan ingin mengucapkan selamat jalan kepada nyanyian.

Tambah Ella lagi, cinta terhadap kerjaya yang dilalui hingga usianya kini mencecah 57 tahun tidak pernah surut.
Pernah mencetuskan kejutan apabila memadamkan gambar dalam Instagram sekitar awal Mac lalu, penyanyi yang mudah mesra itu tidak sesekali terfikir mahu bersara atau meninggalkan kecintaannya.
Kongsinya, sebaik tindakan tersebut dilakukan, ruangan pesanan Instagram dihujani mesej, masing-masing cuba menjejakinya bagi mendapatkan maklum balas.
“Saya terharu apabila ramai peminat tidak berhenti melayangkan mesej merayu-rayu supaya saya jangan bersara.
“Semua itu menyentuh naluri dan menghimpit rasa sayu. Ada dalam kalangan mereka menangis kerana menyangka saya mahu berhenti menyanyi.
“Inilah cinta pertama saya, mana mungkin saya meninggalkan perkara yang saya sayangi. Belum masanya,” kata anak seni asal Klang, Selangor itu.
Tidak berlama-lama membiarkan persoalan tersebut bermain dalam fikiran ramai, tindakan memadam gambar dalam Instagram sebenarnya strategi Ella sempena penganjuran konset Jilid Akhir Ella Puteri Kota pada 10 dan 11 Jun nanti.
Membilang hari
Menurut Ella, bagi persediaan menghadapi persembahan mega untuk dua malam di Axiata Arena Bukit Jalil nanti, tentu saja turut melibatkan persiapan mental dan fizikal.
Biarpun konsert yang dikelolakan Hitman Solutions itu diberi nama Jilid Terakhir, namun kata Ella, bukan agenda tersebut bakal menjadi konsert terakhirnya.

“Konsert yang membariskan 35 lagu iaitu simbolik 35 tahun saya berjuang dalam genre ini juga sebagai penanda untuk pengembaraan saya yang seterusnya.
“Antara lagu yang bakal dibawakan nanti tentu saja rantaian seleksi malar segar yang menjadi siulan termasuk Sembilu, Baldu Biru dan Standing in the Eyes of the World.
“Memang saya perlu berikan sepenuh komitmen bagi memastikan penonton nanti pulang dengan kepuasan,” ulasnya.
Memilih Datuk Acis sebagai pengarah muzik, konsert yang pada asalnya hanya satu malam, persembahan tersebut telah ditambah menjadi dua malam di lokasi sama berikutan sambutan memberangsangkan peminat.
Tiket dijual pada harga antara RM99 hingga RM499 menerusi laman web rasmi www.hitmanlive.com.














