PETALING JAYA – Membela kuku panjang ibarat membela sekandang babi, adalah kepercayaan palsu yang harus dihentikan masyarakat Islam pada masa kini.
Menurut seorang pengguna Twitter, Addien, dia berkongsi pencerahan mengenai isu membela kuku yang disamakan dengan membela sekandang babi merupakan mitos untuk dipercayai.
Katanya, di dalam Islam, menyimpan kuku panjang adalah bertentangan dengan sunnah Rasulullah kerana sunnah yang sebenarnya adalah memendekkan kuku.
“Had untuk menyimpan kuku, misai, bulu ketiak dan sebagainya adalah tidak melebihi 40 hari, pesanan Nabi Muhammad saw kepada para sahabat, berdasarkan kitab Al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab 1/393,” jelasnya.
Menurut Addien, berdasarkan Imam an-Nawawi, 40 hari itu bukan bermaksud membela kuku sehingga tempoh tersebut kerana kadar tumbuh kuku setiap orang berbeza.
“Jadi potonglah sekiranya kuku atau bulu sudah panjang supaya bersih,” ujarnya.
Perkara itu dibangkitkan, apabila salah seorang pengguna Twitter yang dikenali sebagai Izzah bertanya berkenaan kesahihan hukum membela kuku panjang. – KOSMO! ONLINE