SUASANA indah pemandangan sebuah pekan lama yang dikelilingi hutan berbukit bukau menjadi tarikan setibanya di Batu Arang, Gombak, Selangor.
Keluar daripada kesibukan ibu kota, pekan kecil ini membawa pengunjung ke satu dimensi berbeza seolah-olah berada pada zaman kolonial suatu ketika dahulu.
Bagaimanapun, di sebalik keindahan tersebut, kawasan penempatan yang ada di Batu Arang kini sebenarnya dibina di atas bekas lombong arang batu yang terbiar sejak tahun 1960-an.
Menurut Pengerusi Kelestarian Warisan dan Alam Batu Arang, Ahmad Fais Azmir Ahmad Rafie, 44, kawasan Batu Arang dahulunya terkenal dengan industri perlombongan arang batu terbesar dan aktif di negara ini dari tahun 1915 hingga 1960.
“Perlombongan telah menjadi aktiviti ekonomi di pekan Batu Arang pada ketika itu dan sekali gus mewujudkan penempatan yang kekal sehingga ke hari ini.
“Hampir keseluruhan kawasan penempatan ini terbina di atas lombong arang batu dan nama pekan ini juga adalah simbolik kepada aktiviti perlombongan arang batu yang sinonim dengan kawasan ini,” katanya ketika ditemui K2 di pekan Batu Arang baru-baru ini.
Tambahnya, peninggalan bekas lombong tersebut turut mewujudkan demografik unik kawasan pekan Batu Arang di mana terdapat sisa tasik yang pada asalnya menempatkan longgokan arang batu terbesar dan bekas lombong terbuka kedua terbesar di Semenanjung Malaysia selepas lombong Sungai Besi (perlombongan bijih timah).
Di sekitar bekas lombong di Batu Arang ini ditemui batuan bahagian atas lapisan arang batu dan endapan aluvium tua.
Di bahagian lain juga ditemui singkapan batuan dinamakan Formasi Belata iaitu dasar lembangan serta batuan syal iaitu sebahagian daripada endapan lembangan yang membentuk lapisan arang batu.
Bekas lombong arang batu Batu Arang merupakan tapak warisan saintifik dan seni di pekan Batu Arang yang merupakan sebahagian daripada Gombak-Hulu Langat Geopark (GHL).
Bekas lombong arang batu ini dianggarkan berusia antara 25 hingga 60 juta tahun dan merupakan salah satu runtuhan terowong lombong arang batu yang ditemui berhampiran pekan Batu Arang.
Kongsi Ahmad Fais lagi, pekan Batu Arang pernah menjadi bandar perlombongan arang batu penting di Selangor sebelum Perang Dunia Kedua sehingga tahun 1960-an.
Kata bapa kepada seorang cahaya mata itu, pekan Batu Arang juga mendapat nama sempena jumpaan batuan arang batu oleh seorang lelaki yang berasal dari Batang Berjuntai (Bestari Jaya) yang bernama Tuan Haji Abdul Hadi pada tahun 1908.
“Dipercayai Tuan Haji Abdul Hadi telah menghantar sampel batuan ke Sekretariat Persekutuan dan Sekretariat Persekutuan mengarahkan pakar galian J.B Searveno untuk melakukan kajian mengenai penemuan arang batu di Selangor.
“Malayan Collieries Ltd. kemudian memulakan operasi perlombongan dari tahun 1915 hingga 1960 selama 45 tahun. Malayan Collieries Ltd. ditubuhkan pada Jun 1913 oleh John Archibald Russel,” ujar anak jati Batu Arang itu.

Kongsinya lagi, batu arang dahulunya digunakan sebagai bahan api selain arang dan kayu yang mana pada masa itu, Negeri-Negeri Melayu tidak mempunyai minyak atau gas.
Lokasi Batu Arang pula strategik. Selain berdekatan dengan Kuala Lumpur, ia juga menjadi teras utama pengeluar arang batu di negara ini.
Arang batu digunakan sebagai bahan api untuk operasi kereta api seperti di England. Ia dilombong dengan cara menggali terowong di permukaan bumi Batu Arang secara berperingkat dari tahun 1915 hingga 1960.
Ia merangkumi 13 lombong dedah, 11 segmen lombong bawah tanah dan rangkaian terowong sepanjang kira-kira 22 kilometer dalam kawasan seluas anggaran 80 hektar.
Sehingga hari ini, terdapat pelbagai peninggalan warisan yang masih kekal di Batu Arang terutama seni bina bangunan yang menggunakan batu bata merah.
Hasil galian daripada pelombongan arang batu juga mewujudkan industri pembuatan batu bata merah yang berkualiti tinggi di Batu Arang.
Batu-bata ini juga digunakan sebagai bahan untuk membina sistem sokongan terowong.
Antara peninggalan yang masih kekal terpelihara adalah laluan masuk terowong arang batu dan Airshaft Building, Sekolah Rendah Kebangsaan Cina Batu Arang, White House (MES Pegawai Tentera), pejabat pos, berek askar Gurkha, bangunan Kelab Sukan Pekerja Lombong, Rumah Kelab Eropah, Rumah Semboyan Keretapi dan pejabat Malayan Collieries Ltd., Batu Arang.
Usaha untuk memelihara khazanah dan warisan di Batu Arang bermula pada tahun 2008 oleh bekas ketua komuniti setempat, Allahyarham Ahmad Rafie Yoep Nordin.
Inisiatif tersebut turut dibantu oleh Ahmad Fais yang juga merupakan anak bongsu beliau yang kini menerajui usaha membangunkan tarikan warisan di Batu Arang sebagai lokasi geotapak.
“Arwah bapa melihat potensi kawasan ini sebagai tarikan pelancongan berikutan elemen sejarah dan geologinya yang boleh menjana pendapatan setempat.
“Oleh sebab itu, kita melakukan pelbagai perancangan bermula dengan mengekalkan seni bina asal rumah yang berdindingkan batu bata merah sebagai keunikan di kawasan ini,” kongsinya.
Tambahnya, selain itu, pusat informasi dan galeri Batu Arang turut diwujudkan dan ditempatkan di bangunan yang merupakan bekas asrama atau penempatan pekerja-pekerja lombong suatu ketika dahulu.
Galeri tersebut menempatkan pameran sejarah Batu Arang, bahan-bahan galian dan produk batu bata yang terdapat di kawasan tersebut.
Tarikan lain dibangunkan adalah trek berbasikal yang mengelilingi kawasan pekan Batu Arang dan kawasan denai sekelilingnya serta binaan mercu serombong asap yang menjadi simbolik industri pembuatan batu bata di pekan tersebut.














