LANGKAWI – Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditungganginya terbabas dan merempuh dua buah kenderaan di laluan berselekoh di Jalan Bukit Malut, di sini hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 8 pagi tadi itu, mangsa, Syukor Che Rus, 28, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah pada kepala dan kaki kanan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha Y15ZR dipercayai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan.
Katanya, mangsa kemudian melanggar bahagian hadapan sebuah motosikal jenis Modenas Kriss seterusnya melanggar kereta jenis Proton Iswara.
“Kesan perlanggaran tersebut menyebabkan mangsa terhantuk pada cermin besar hadapan kereta dan mengalami kecederaan pada kepala dan kaki kanannya.
“Mangsa meninggal dunia di tempat kejadian dan mayat dibawa ke Hospital Sultanah Maliha, di sini untuk bedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, seorang lagi penunggang motosikal yang merupakan lelaki tempatan berusia 41 tahun yang bekerja sebagai buruh mengalami kecederaan parah di kepala, leher, tangan dan kaki kanannya.
“Sementara itu, pemandu kereta iaitu seorang wanita berusia 45 tahun hanya cedera ringan di dahi,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE