fbpx

Tunjuk kad kuasa, rupanya polis bantuan minta kereta berhenti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman video tular perbalahan antara dua pemandu kereta di Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (DUKE), menghala ke Ulu Klang, di sini, baru-baru ini.

KUALA LUMPUR -Tular satu rakaman video memaparkan seorang lelaki mendakwa dirinya anggota polis dilihat menjadi samseng jalanan di atas jalan raya Lebuh Raya Duta–Ulu Klang (DUKE), menghala ke Ulu Klang, di sini, baru-baru ini.

Video berdurasi satu minit 20 saat itu menunjukkan lelaki yang memandu bersama anaknya sempat mengeluarkan sekeping kad seakan kad polis dan ditunjukkan kepada pemandu kenderaan yang merakamnya.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah berkata, semakan mendapati satu laporan polis diterima pihaknya berhubung kejadian itu, kelmarin.

Katanya, mangsa mendakwa pemandu kereta jenis Honda City memandu secara merbahaya dan cuba menganggu perjalanannya.

“Suspek bertindak mengeluarkan sebuah kad seperti kad polis dan menunjukkan kepada mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, menurut Ashari, pemandu kereta jenis Honda City tampil membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya, semalam.

Jelas Ashari, pemandu tersebut merupakan anggota polis bantuan di sebuah bank hadir membuat laporan polis tentang kejadian yang sama.

“Pemandu tersebut mendakwa mangsa telah mengganggu laluannya tanpa memberikan lampu signal ubah haluan.

“Disebabkan itu, pemandu itu bertindak menunjukkan kad kuasa polis bertujuan supaya mangsa berhenti,” katanya.

Menurut Ashari, kes diklasifikasikan sebagai Rujuk Kepada Majistret (RKM) dan pihaknya akan merujuk kepada agensi polis bantuan berkenaan untuk tindakan lanjut.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian ini boleh menghubungi IPD Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI