fbpx

Suami isteri maut motosikal rempuh lori buat pusingan U

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki merempuh belakang lori di KM7.6 Jalan Kangar-Padang Besar, Padang Besar hari ini.

PADANG BESAR – Sepasang suami isteri maut selepas motosikal dinaiki merempuh belakang sebuah lori yang membuat pusingan U di Kilometer 7.6 Jalan Kangar-Padang Besar, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.45 petang itu, pasangan berusia 32 dan 28 tahun yang berasal dari Langkawi, Kedah serta bekerja sebagai guru di sebuah sekolah di sini meninggal dunia di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Padang Besar, Asisten Komisioner Mohd. Shokri Abdullah memberitahu, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila pemandu lori berusia 67 tahun yang datang dari arah Padang Besar menghala ke Kangar membuat pusingan U.

“Pasangan suami isteri yang menaiki motosikal jenis Vario dari arah Kangar tidak sempat mengelak lalu melanggar bahagian belakang lori tersebut.

“Pegawai penyiasat yang berada di tempat kejadian mendapati bahawa jalan itu lurus dan mempunyai garisan berkembar,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kata beliau, pasangan suami isteri terbabit disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah dialami.

“Mayat dua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Fauziah, Kangar dan proses bedah siasat akan dijalankan pada esok,” ujarnya.

Katanya, siasatan lanjut mendapati pemandu lori tidak mempunyai lesen memandu yang sah selain ujian saringan awal air kencing didapati negatif.

“Pemandu lori terbabit tidak ditahan reman atas faktor umur dan mempunyai masalah kesihatan serta pendengaran dengan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Beliau pada masa sama memohon kerjasama orang ramai yang menyaksikan kejadian untuk tampil memberi keterangan bagi membantu siasatan dan maklumat boleh disalurkan kepada Pegawai Penyiasat, Inspektor P. Povandran di talian 019-4702312. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI