fbpx

Polis buru lelaki Vietnam, suspek kes bunuh rakan senegara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tam.

IPOH – Polis sedang mengesan seorang lelaki warga Vietnam untuk membantu siasatan kes bunuh rakan senegara yang maut dalam kejadian pergaduhan di kawasan tempat letak kereta di Taman Sri Kurau, Bercham Gama di sini bulan lalu.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, suspek dikenali sebagai Tam berusia lingkungan 30 hingga 40 tahun itu masih bebas sehingga kini.

“Kejadian pada 18 April sekitar pukul 10.47 malam itu berlaku di sebuah pusat hiburan di mana mangsa berusia 40 tahun bersama suspek dan lima rakan senegara datang ke premis berkenaan untuk berhibur.

“Bagaimanapun, berlaku pertengkaran mulut antara mereka hingga berlarutan ke kawasan tempat letak kereta sebelum mangsa ditikam menggunakan botol kaca oleh suspek.

“Punca pergaduhan kerana mangsa dikatakan berkelakuan tidak senonoh dengan teman wanita suspek,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, mangsa yang parah telah dibawa oleh rakan-rakannya ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk rawatan kecemasan manakala suspek pula melarikan diri.

Orang yang dikendaki pihak polis.

Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia sekitar pukul 1 pagi akibat tikaman di bahagian leher dan dada.

“Hasil bedah siasat yang dijalankan pada 19 April lalu mendapati mangsa maut akibat luka hirisan pada bahagian leher menggunakan senjata tajam.

“Lima rakan mangsa termasuk dua wanita telah ditahan reman untuk siasatan lanjut sebelum dibebaskan selepas didapati tidak terlibat dalam kejadian pembunuhan itu,” katanya.

Tambahnya, usaha giat dijalankan bagi mengesan Tam yang juga suspek utama bagi kes di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

“Orang ramai yang mengenali atau mempunyai maklumat tentang suspek diminta menghubungi pegawai penyiasat, Asisten Superintenden S. Dasarathan di talian 012-5644484,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI