fbpx

Kaedah terbaharu salur elaun imam, guru KAFA

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sultan Sharafuddin ( dua kiri) berkenan menerima replika cek peruntukkan itu di Istana Alam Shah, Klang.- Foto oleh AFIQ RAZALI/KOSMO!

KLANG- Kaedah terbaharu penyampaian peruntukan elaun kepada imam, bilal, siak, guru takmir dan Kelas Agama dan Fardhu Ain (KAFA) melalui Sultan atau Raja sebagai Ketua Agama Islam Negeri untuk disalurkan kepada Jabatan Agama Islam negeri berkenaan diharap dapat melancarkan agihan peruntukkan itu.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Muhamad Munir Bani dalam kenyataannya hari ini berkata, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah, kaedah itu juga dapat mengelakkan daripada dipolitikkan dan meredakan kekeliruan rakyat terhadap perkara tersebut.

Katanya, baginda memaklumkan sebelum ini kaedah penyampaian peruntukan bayaran elaun itu disampaikan kepada Menteri Besar negeri berkenaan.

“Bagaimanapun apabila Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) diambil alih oleh Raja yang memerintah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menyelaras peruntukan elaun itu dibuat melalui Sultan atau Raja negeri yang berkenaan selaku Ketua Agama Islam.

“Ia kemudiannya disalurkan kepada Jabatan Agama Islam negeri-negeri yang berkenaan.

“Diharapkan kaedah terbaharu ini dapat melancarkan penyerahan peruntukan elaun imam, bilal, siak, guru takmir dan guru KAFA ke negeri-negeri di Malaysia ini tanpa dipolitikkan dan dapat meredakan kekeliruan rakyat terhadap perkara tersebut,” katanya.

Terdahulu, Sultan Sharafuddin berkenan menerima replika cek peruntukkan berjumlah lebih RM56.5 juta daripada Kerajaan Persekutuan yang disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar di Istana Alam Shah di sini. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI