ENGGAN meletakkan noktah terhadap karier lakonan yang menghampiri dua dekad, si cantik yang tidak dimakan usia, Nora Danish berusaha memastikan tiada yang tergelincir di laluan kembaranya.
Sejak tampil dalam drama bersiri Puteri sekitar 2006, aktres yang semakin matang pada usia 41 tahun itu percaya setiap langkah perlu diseimbangkan.
Antara keluarga dan kerjaya, pemilik nama penuh Nora Mohd. Danish Hanif itu memilih memperlahankan rentak sejak kelahiran anak bongsu lima tahun lalu supaya mampu memberi tumpuan terhadap si kecil.
Namun bukan bermakna dia lari daripada tugas hakiki sebagai penggiat seni, sebaliknya hanya mengambil tawaran drama atau filem yang sesuai dengan masanya.
“Apabila memasuki fasa tertentu, kita perlu mempertimbangkan kemahuan dan tanggungjawab, jadi sepanjang tempoh lima tahun kebelakangan ini saya pilih luangkan lebih masa dengan keluarga.
“Selepas melahirkan Mohamed Neqayl atau Ney Ney, saya ambil keputusan fokus kepada penjagaannya.
“Saya masih berlakon tetapi tidak seligat sebelum fasa kehamilan dan selepas kelahirannya, kerja saya lebih kepada membabitkan jenama komersial disebabkan tempoh tugasan tidak panjang.
“Kini selepas Ney Ney semakin membesar, baru saya terfikir untuk aktif semula, cuma mungkin dalam ruang lingkup kerja penerbitan pula,” katanya.

Bakal bergelar penerbit
Sebagai memenuhi keinginan dalam dunia seni, Nora kini menubuhkan rumah produksi di bawah nama ND Productions yang dijangka dapat menerbitkan filem pertama sekitar akhir tahun ini.
Keputusan merealisasikan syarikat tersebut adalah bagi membolehkannya terus berkarya, selain membuka peluang membawakan karakter yang belum pernah dibawa sebelum ini.
“Hakikatnya, saya terlalu sayang kerjaya ini. Bila ada yang mengatakan saya memilih, bukan sebenarnya, saya cuma mengutamakan keluarga dan menjaga eksklusiviti.
“Saya fikir selepas 20 tahun dalam industri, inilah masa sesuai dan tepat untuk saya mencuba sesuatu di luar zon selesa dengan berbekalkan pengalaman sedia ada.
“Dengan adanya rumah produksi sendiri, saya boleh kembali aktif serta dapat merealisasikan watak berat atau karakter yang saya belum cuba,” kongsi pelakon Polis Evo 3 itu.

Loghat Terengganu
Berkongsi pula wataknya dalam filem arahan Syafiq Yusof yang bakal ditayangkan pada 25 Mei depan, akuinya watak Anis merangkap karakter wanita Terengganu itu menuntut kesabaran tinggi.
“Ini kali pertama saya bekerja di bawah arahan Syafiq yang memerlukan saya menguasai loghat Terengganu dengan baik. Mencabar, namun saya dapat tenaga pengajar dan pengalaman menyeronokkan.
“Berpeluang terbabit dalam filem aksi ini juga antara medan untuk saya menimba pengalaman baru selain turut mengintai cara kerja belakang tabir,” tambahnya.
Selain Nora, filem tersebut turut membariskan ramai bintang handalan termasuk Shaheizy Sam, Zizan Razak, Sharnaaz Ahmad dan Syafiq Kyle.
Mahu jadi inspirasi
Pada masa sama, jauh di sudut hati aktres berdarah campuran itu, dalam pengembaraan sebagai pelakon, Nora berharap dapat menjadi inspirasi buat generasi pelapis.
Jika tidak banyak pun, dia mahu impak kerja seni mampu memberi inspirasi kepada bakat muda sedia ada supaya berani mengejar impian bergelar anak seni.
“Saya pernah berada pada fasa itu, antara gementar dan teruja untuk meneruskan cita-cita menjadi pelakon yang kerap dimomokkan dengan pelbagai cerita menakutkan.
“Tapi semua itu cuma cabaran dan dugaan awal kerana setiap kerjaya punya ujian tersendiri. Cuma bagaimana untuk kita menempuhnya mungkin berbeza,” katanya yang menjadikan Nasha Aziz sebagai idola.

Sambut sederhana
Rutin sambutan Aidilfitri Nora mungkin tidak jauh berbeza dengan warga kota lain, cuma paling utama aktres jelita ini bersyukur dapat berhimpun dengan keluarga besarnya.
Katanya, semangat Syawal menjadi lebih bermakna apabila dapat berada di sisi semua insan tersayang terutama suami, Mohamad Nedim Nazri serta permata hati mereka, Ney Ney dan Putra Rayqal Ramli Rizal Ashram, 14, anak hasil perkahwinan pertamanya.
“Boleh dikatakan kami termasuk dalam ‘team raya KL’ tetapi bagi saya kemeriahan berhari raya di tengah ibu kota ini sama meriah dengan aura di kampung.
“Mungkin suasana pemandangan sedikit berbeza daripada desa, namun semangat Syawal tetap kental kerana tradisi kunjung mengunjung tetap diamalkan.
“Bagi saya tak kira di mana pun hari raya saya sempurna dengan adanya anak-anak, suami, ibu, adik beradik serta semua insan yang saya sayang,” ujar Nora lagi.
Sebagai anak bongsu daripada empat bersaudara yang kehilangan bapa ketika masih kecil, tentu saja emosinya terjentik mengenang ketiadaan insan penting dalam hidupnya itu.
Biarpun tidak dapat mengingati kenangan bersama Allahyarham yang meninggal dunia ketika Nora berusia 12 tahun, doa pelakon itu sentiasa mengiringi Allahyarham bapanya.
Saban tahun setiap kali Ramadan dia berusaha untuk khatam al-Quran sebagai ‘hadiah’ buat arwah bapanya yang dikebumikan di Amerika Syarikat.

Sumpahan Malam Raya
Agak lama tidak muncul di layar perak, Nora akui tayangan filem baharunya yang berjudul Sumpahan Malam Raya membuatkannya teruja dan dalam masa sama gementar.
Katanya, watak dibawakan dalam filem komedi seram sebagai wanita manja mempunyai keunikan serta sangat menyeronokkan.
“Saya memang suka bekerja di bawah A. Razak Mohaideen sebab dia seorang yang sangat terbuka selain mudah bertolak ansur dari segi jadual kerja.
“Berada dalam satu skrin dengan barisan pelawak senior dan pelakon lain juga meninggalkan memori manis selain meraih pengalaman baharu,” katanya.
Filem yang menemui penonton pada 22 April lalu itu turut dibintangi Atu Zero, Reen Rahim, Datuk Yusry Abdul Halim, Datin Lisa Surihani, Danial Zaini, Rita Rudaini, Saiful Apek, Yassin Yahya dan Ropie Cecupak.














