fbpx

Siti Nurhaliza ucap terima kasih pada Fahmi Fadzil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI berterima kasih kepada Fahmi atas keprihatinan berhubung isu penularan berita palsu mengenai dirinya hari ini.

PETALING JAYA – Penyanyi terkenal, Datuk Seri Siti Nurhaliza menzahirkan ucapan terima kasih kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil atas keprihatinan terhadap isu penularan berita palsu yang dikaitkan dengannya berhubung sebuah majlis rumah terbuka baru-baru ini.

Siti atau nama penuhnya Siti Nurhaliza Taruddin, 44, sebelum itu berkongsi luahan dalam InstaStory terhadap berita palsu yang membabitkannya sebagai memberi teguran kepada pihak berkaitan termasuk media berkenaan agar berhenti dan tidak berhajat nak membesarkannya.

“Terima kasih atas keprihatinan YB (Yang Berhormat) terhadap isu berita palsu, buli siber dan sebagainya. Hal ini sudah sering terjadi, bukan sahaja kepada saya sebagai individu tetapi juga terhadap banyak pihak lain.

“Kesedaran masyarakat harus dibendung mengenai berita-berita palsu yang keluar dalam media sosial,” katanya menerusi satu ciapan Twitter hari ini.

Dia yang popular menerusi lagu Nirmala itu turut menggesa orang ramai khususnya netizen agar berhati-hati dalam setiap tindak-tanduk ketika menggunakan media sosial.

“Jadilah pengguna berhemah, matang menilai dan tidak menggunakan akal, jari, ilmu yang Allah SWT pinjamkan kepada perkara yang tidak berfaedah,” ujarnya.

Sebelum ini, Siti berkongsi luahan dalam InstaStory terhadap berita palsu yang membabitkan persembahan pentasnya di utara tanah air dengan majlis berunsur politik.

Kenyataan palsu tersebut kemudiannnya digunakan oleh sebuah portal hiburan sebagai bahan berita bertajuk ‘Siti Nurhaliza tak sangka rumah terbuka jadi majlis politik’ sehingga menuai perhatian ramai.

Penyanyi itu dalam perkongsian di InstaStory memberi teguran kepada pihak berkaitan supaya berhenti menyebarkan perkara tidak sahih selain jangan membesarkan hal tersebut.

Rentetan daripada itu, Fahmi memberi amaran terhadap portal hiburan terbabit dan menggesa berhenti daripada menyebarkan sebarang kandungan berita palsu yang boleh mencetuskan kekecohan dalam kalangan masyarakat negara ini.

Malah kata Fahmi kenyataan palsu yang dijadikan bahan politik itu boleh mengakibatkan pihak tidak bertanggungjawab boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Rakan-rakan media diingatkan sentiasa mengesahkan infomasi dan sumber sebelum menerbitkan berita agar tidak timbul isu seperti ini.

“Tindakan undang-undang juga boleh diambil agensi penguatkuasaan sekiranya didapati berlaku sebarang pelanggaran,” katanya menerusi kenyataan dalam Facebook.

Menjadi mangsa fitnah menerusi laporan berita palsu bukan satu perkara baru buat Siti, sebelum ini namanya juga sering dikaitkan dengan pelbagai kandungan tidak benar termasuk promosi produk dan didakwa membuat pelaburan tidak sah disisi undang-undang.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI