fbpx
NABILA HUDA

Tolak fesyen barat, Nabila Huda ‘hangkut’ 30 kebaya ke New York

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Ingin memartabatkan budaya Malaysia ke mata dunia, pelakon Nabila Huda sanggup membawa sehingga 30 pasang kebaya pelbagai warna untuk digayakan sepanjang dua bulan berada di New York, Amerika Syarikat.

Nabila atau mesra disapa Abil, 39, berhasrat untuk menggayakan pakaian tradisional itu sepanjang berada di AS kerana bangga dapat mempromosikan budaya tanah air ke luar negara.

Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Abil berkongsi baju-baju kebaya yang dibawanya dari Malaysia yang ditaja oleh Royal Kebaya.

“Kenapa nak pakai macam ‘New Yorker’ sedangkan kita patut bangga dengan pakaian tradisional kita (kebaya). Kita patut berbangga dengan budaya dan batik Malaysia.

“Jadi saya memilih kebaya untuk travelog saya kali ini. Mesti cantik bila jalan terkedek-kedek dekat Times Square nanti,” tulisnya.

Selain kebaya, pemenang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-28 (FFM28) itu juga membawa bersama aksesori dan kasut untuk dipadankan dengan busana tradisional itu nanti.

“30 hari, 30 kebaya. Saya siap bawa sebakul aksesori untuk dipadankan dengan kebaya. Terima kasih untuk penaja. Saya akan jaga elok-elok. Janji,” katanya.

Menjengah dalam ruangan komen, rata-rata pengikutnya memuji idea yang dibuat oleh Abil dan tidak sabar melihatnya menyarung kebaya di New York.

“Terbaik Abil martabatkan budaya kita. Mesti cantik,” ujar seorang peminatnya.

“Yes! Jangan lupa cucuk sanggul,” pinta seorang lagi peminatnya.

“Cepatlah pakai. Tak sabar nak tengok Abil bergaya pakai kebaya di New York,” kata seorang pengguna Instagram.

Difahamkan Abil yang juga anak kepada penyanyi legenda, Amy Search itu akan berada selama dua bulan di New York kerana terbabit dalam sebuah penggambaran program masakan.

Selain itu, Abil juga berkesempatan memasak hidangan kuah lodeh ketika dijemput ke kediaman diplomasi Malaysia yang berada di New York bersempena meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI