GEORGE TOWN – Wanita kaya yang sering kesunyian akibat disisih atau diabaikan suami masing-masing sanggup melabur banyak wang untuk mendapatkan khidmat lelaki sewaan bagi menjadi peneman minum petang dan menghiburkan hati yang lara.
Datin, usahawan dan janda berduit berusia antara 40 hingga 50 tahun merupakan golongan yang sering mendapatkan khidmat lelaki sewaan atau lebih dikenali sebagai escort boy.
Ia merupakan kerjaya mudah tetapi lumayan sehingga boleh menjana pendapatan mencecah RM15,000 sebulan untuk sepenuh masa dan RM8,000 (sambilan). Bayaran ditentukan status pelanggan sama ada orang kenamaan atau sebaliknya dan majlis yang dihadiri.
Antara majlis itu termasuk minum lewat petang, berjumpa klien di hotel dan majlis-majlis tertentu atau tertutup.
Escort boy mestilah muda, seorang yang pandai menyimpan rahsia, kacak, comel, berbadan tegap, tinggi, bergaya, pandai membawa diri, berkarisma, berkeyakinan dan mempunyai kemahiran komunikasi yang baik.
Kebanyakan escort boy merupakan model, pengajar gim, pramugara dan pelajar kolej.
Bagaimanapun, ada dalam kalangan wanita berkenaan yang agak berat atau kedekut untuk menjelaskan kadar upah seperti yang ditetapkan dan hanya sedikit yang tidak kisah mengeluarkan RM1,000 dalam tempoh lima jam perkhidmatan.
Escort boy, Alex, 26, berkata, dia menjadi lelaki sewaan sejak menuntut di sebuah kolej dengan bayaran RM100 sejam. Alex telah menjadi lelaki sewaan sejak lima tahun lalu.
“Saya dapat sehingga empat pelanggan yang sama sebulan. Biasanya permintaan meningkat selepas mak datin yang menjadi ahli perniagaan selesai urusan mereka dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri antara Jun hingga Disember.
“Pelanggan diperoleh melalui media sosial. Kalau bernasib baik, saya akan diangkut sekali ke luar negara seperti Amerika Syarikat dan Bali, Indonesia untuk mengelakkan rahsia terbongkar selain boleh lebih mesra,” katanya kepada Kosmo! Ahad.
Menurut Alex, dia terjebak disebabkan pengaruh rakan kolej dan media sosial kerana mahu mencari duit poket, menjaga penampilan dan kehidupan mewah seperti tinggal di kondominium serta menaiki kereta import.
Tambahnya, jika ditanya, setiap pelanggan akan mengatakan dia merupakan pembantu peribadi.
“Cara layanan penting untuk menghiburkan hati wanita yang disisih atau diabaikan suami. Jika mereka berpuas hati, mereka akan tempah saya lagi,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi bekas penuntut kolej juga mahu dikenali sebagai Fred, 28, memberitahu, khidmatnya pula lebih kepada male escort untuk usahawan lelaki tempatan dan luar negara atau VIP.
“Kebanyakan pelanggan adalah berketurunan Cina dan dari negara Asia. Mereka kebiasaannya mahu mendapatkan peneman kontrak untuk membeli-belah, minum kopi dan berhibur di kelab malam termasuk membantu membuka atau menuangkan air ke dalam cawan.
“Pelanggan tempatan, mereka sanggup bayar sehingga RM1,000 semalam, manakala lelaki luar negara mereka akan memberi hadiah berupa barangan mewah pada keesokkannya dengan harga mencecah RM5,000,” katanya.
Fred yang sudah tujuh tahun bergelumang dengan dunia itu menambah, kerjayanya bukan seperti gogo boy (peneman tidur) atau pelayan wanita (GRO) tetapi jika diminta khidmat tambahan, dia boleh menimbangkannya.
Dalam pada itu, Fred mendakwa, hasil pendapatan yang diperoleh itu akan dibelanjakan dalam kehidupan harian termasuk membeli kelengkapan diri serta suplemen atau makanan tambahan untuk gim dan sebagainya.
“Keluarga tahu saya buat kerja ini tetapi mereka tak kisah asalkan saya tak keterlaluan dan hisap dadah,” katanya.














