fbpx

Rasuah seks fitnah mahu jatuhkan saya – Rais Yasin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rais

MELAKA – Pemimpin kanan kerajaan negeri, Datuk Rais Yasin menafikan dirinya terlibat dengan skandal rasuah seks yang tular menerusi klip video dan tangkap layar WhatsApp sejak kelmarin.

Beliau yang merupakan Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana turut mendedahkan, taktik kotor untuk mengganggu gugat karier politiknya itu telah mula disebarkan sejak tempoh Pemilihan UMNO 2023 lalu.

“Sebenarnya isu video ini telah tular ketika tempoh pemilihan tempoh hari tetapi saya ambil kira lebih baik fokus dengan apa yang saya lakukan setelah dilantik menjadi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka dan selaku Exco dalam kerajaan negeri baharu.

“Ini semua fitnah yang direka untuk menjatuhkan reputasi saya, ini adalah asam gara politik, saya tidak pernah beri rasuah seks kepada mana-mana individu. Seram kita tengok perbualan WhatsApp yang diada-adakan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan tinjauan kerosakan bumbung Pasar Besar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) Bachang, di sini, hari ini.

Tangkap layar Whatsapp itu menunjukkan perbualan seorang wanita dengan individu didakwa kononnya Exco kanan kerajaan negeri yang memberikan sejumlah wang dan berjanji membantu projek di bawah portfolionya sebagai habuan seks.

Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya juga sedia maklum berkenaan tindakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membuat laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu rasuah seksual berkenaan.

“Banyak pihak bertanya untuk saya membuat laporan polis, sebenarnya saya (diibaratkan) orang yang dituduh mencuri rumah orang, mangsa itulah yang buat laporan.

“Laporan SPRM dibuat berhubung isu ini, kalau ada siasatan pihak berkuasa, saya akan berikan kerjasama sepenuhnya kerana memang saya tidak melakukan apa-apa seperti yang tular,” katanya.

Tambahnya lagi, pihaknya kini sedang meneliti kejadian itu sebelum sebarang tindakan diambil termasuk saman terhadap individu yang terlibat dalam penyebaran fitnah tersebut.

Kelmarin, Kosmo! turut melaporkan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, menegaskan isu skandal seks yang didakwa membabitkan seorang Exco sebagai satu fitnah.

Ab. Rauf yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka berkata, dalam dunia siber serba moden pelbagai bentuk fitnah mudah disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab terutamanya dalam media sosial. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI