fbpx
Isteri perlu berani untuk mendedahkan perbuatan jahat suami mereka yang terlibat dalam penagihan dadah jika berhasrat untuk menuntut cerai di mahkamah. – Gambar hiasan

Ramai isteri mahu cerai, tapi susah buktikan lelaki hisap dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

ALOR SETAR – Ramai wanita yang bersuamikan penagih dadah sukar untuk menuntut cerai secara fasakh di mahkamah syariah hanya kerana tiada bukti kukuh mengenai salah laku pasangan mereka.

Situasi itu timbul berikutan ada sesetengah isteri juga enggan dan malu untuk melaporkan kegiatan suami mereka kepada pihak berkuasa.

Perkara itu diakui sendiri oleh peguam syarie, Fahmi Ramli yang mendedahkan pihaknya sering menerima kes sedemikian apabila si isteri tidak mahu melaporkan kegiatan haram suami kepada polis mahupun Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Fahmi

Katanya, laporan kepada pihak berkuasa penting kerana ia bukan sahaja untuk mengesahkan pasangan benar-benar terlibat dadah, malah menjadi bukti bagi proses permohonan cerai di Mahkamah Syariah.

“Ramai wanita yang datang mendapatkan khidmat konsultasi mahu menuntut fasakh, tetapi kurang daripada sudut pembuktian salah laku suami.

“Dia tahu suami ambil dadah, namun tiada bukti kukuh untuk tindakan susulan atau pro­ses selanjutnya di mahkamah,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Malah katanya, ada wanita yang menyimpan sejumlah dadah didakwa milik suami dengan alasan untuk dijadikan bukti pasangan mereka adalah penagih.

“Ia satu tindakan salah dan dibimbangi wanita itu pula yang akan ditangkap kerana memiliki dadah. Ia merupakan satu kesa­lahan yang serius.

“Apa yang perlu mereka buat adalah laporkannya kepada AADK atau pihak polis untuk tindakan lanjut. Jika sudah ada laporan di AADK atau pasangan dipenjara, barulah proses tuntutan cerai dapat dilakukan dengan lancar,” ujarnya.

Mengulas lanjut kata Fahmi, kebanyakan wanita enggan me­laporkan kepada pihak berkuasa kerana tidak mahu anak-anak dan keluarga malu sekiranya suami mereka ditangkap.

“Mereka tidak mahu anak dan ahli keluarga lain malu jika orang lain tahu suami penagih selain masih ada perasaan kasihan kepada pasangan.

“Ada juga kes ibu bapa mentua yang minta jangan laporkannya kepada pihak polis atau AADK dan minta selesaikan kes secara baik,” jelasnya.

Sementara itu, kata beliau, pihaknya telah mengadakan lebih 10 konsultasi membabitkan kes perceraian pada setiap bulan de­ngan tiga daripadanya adalah berkaitan isu dadah.

“Wanita boleh menuntut cerai secara fasakh kerana suami ambil dadah kerana ia adalah satu perbuatan yang keji. Bagaimanapun, ia memerlukan bukti kukuh,” katanya.

Katanya lagi, sekiranya seorang suami disahkan penagih dan terdapat bukti dia mengabaikan nafkah atau berlaku keganasan rumah tangga, proses tuntutan cerai menjadi lebih lancar.

Dalam pada itu, seorang isteri yang mahu dikenali sebagai Siti, 43, mengakui nekad untuk berpisah dengan suaminya yang me­rupakan seorang penagih dadah setelah tidak tahan akibat sering kali menjadi mangsa keganasan.

Katanya, dia berkahwin de­ngan lelaki berkenaan pada usia 21 tahun dan hanya mengetahui suaminya seorang penagih dadah selepas dua tahun mendirikan rumah tangga.

“Pada mulanya, saya tidak nampak apa-apa masalah dalam keluarga kami, namun selepas suami berhenti kerja dari sebuah syarikat swasta dan terlibat dalam penagihan dadah, masalah itu mula timbul.

“Dia sering meminta duit dan mengugut untuk memukul saya hanya kerana dadah. Atas nasihat beberapa ahli keluarga, saya nekad menuntut cerai di mahkamah, namun saya terlebih dahulu perlu melaporkan ke­giatan suami saya kepada pihak berkuasa sebagai bukti untuk menyokong perceraian,” katanya,

Bagaimanapun, jelas Siti, dia pada awalnya sukar untuk me­laporkan perkara itu kerana malu dan bimbang dipukul oleh suami.

“Saya tetap nekad kerana memikirkan mengenai masa depan dua anak yang masih kecil.

“Memang berat apabila kita perlu melaporkan masalah suami sendiri kepada polis, tetapi itu sahaja jalan terbaik untuk saya menyelamatkan rumah tangga kami,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN