KUALA Lumpur City meneruskan momentum cemerlang untuk melakar kemenangan kelima berturut-turut selepas membenam PDRM FC 3-0 di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
PDRM hadir dengan misi buru kemenangan kedua sepanjang April dan segalanya bermula agak baik di awal permainan apabila barisan pemain The Cops dilihat cukup selesa dengan bola.
Segalanya berpunca daripada lorongan berkualiti tinggi daripada kapten KL City, Paulo Josue pada minit ke-14 dan kesempatan itu tenang disempurnakan oleh Romel Morales dengan melakukan ‘cip’ untuk melepasi jangkauan penjaga gol lawan, Nor Hakeem Hamidun.
Kesilapan pertahanan PDRM FC, Aliff Najmi Shaaini pada minit ke-22 mengundang padah dan kali ini giliran Morales melakukan umpanan buat Josue yang melepaskan rembatan deras untuk memastikan gol kedua KL City.
Ada petanda positif yang dipamerkan The Cops di babak kedua apabila mula menggandakan asakan namun pertahanan tuan rumah berjaya atasinya dengan baik.
Seterusnya, aksi berlangsung seimbang namun tuah lebih berpihak kepada KL City yang memperoleh gol ketiga menerusi penyerang gantian, Tchetche Kipre pada minit ke-87. – KOSMO! ONLINE