fbpx

Dua wakil galas cabaran Malaysia di BAC

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Beregu lelaki profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin merupakan salah satu wakil Malaysia yang meneruskan kemaraan ke suku akhir pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki dan beregu campuran profesional negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin dan Goh Soon huat-Shevon Lai menjadi sandaran peminat sukan tanah air bagi meneruskan cabaran Malaysia pada Kejohanan Badminton Asia (BAC) di Dubai, Emiriyah Arab Bersatu (UAE).

Ee Yi-Yew Sin dan Soon Huat-Shevon menjadi wakil tunggal Malaysia dalam acara masing-masing pada pusingan suku akhir esok selepas tiga lagi wakil negara yang beraksi di pusingan kedua hari ini terkandas.

Pada perlawanan yang berlangsung di Dewan Tertutup Sheikh Rashid Bin Hamdan, Ee Yi-Yew Sin meneruskan kemaraan selepas dipaksa bekerja keras sebelum menang 10-21, 21-15, 22-20 ke atas beregu Jepun, Ayato Endo-Yuta Takei.

Dalam pada itu, Soon Huat-Shevon juga terpaksa bermandi peluh apabila memerlukan tiga set bagi menewaskan wakil China, Cheng Xing-Chen Fang Hui menerusi kemenangan 12-21, 22-20, 21-15.

Pada aksi suku akhir yang dijadualkan berlangsung esok, Ee Yi-Yew Sin akan membuat perhitungan dengan beregu No.1 dunia dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto manakala Soon Huat-Shevon bertemu Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari juga dari Indonesia.

Dalam pada itu, nasib tidak menyebelahi tiga lagi wakil negara, termasuk dua beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik dan Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta beregu campuran, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.

Aaron-Wooi Yik yang juga juara dunia akur dengan kekalahan 21-14, 16-21, 19-21 kepada pemenang pingat emas Sukan Olimpik Tokyo 2020, Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan manakala Wei Chong-Kai Wun terpaksa menarik diri akibat kecederaan.

Sementara itu, hasrat Tang Jie-Ee Wei untuk terus melakar kejutan tidak kesampaian apabila tewas dalam aksi tiga set 21-23, 21-18, 15-21 kepada gandingan berpengalaman Indonesia, Praveen Jordan-Melati Daeva Oktavianti. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI