fbpx
Dikatakan., dua juadah tersebut, gayam (kiri) dan punten (kanan) merupakan dua sajian yang sering diperkenalkan kepada pengunjung yang datang ke Sungai Panjang untuk merasai gastronomi sebenar masyarakat di situ.

Bubur gayam, punten juadah identiti Sungai Panjang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JELAS terdengar perbualan dalam dialek subetnik Banjar Alai dituturkan ketika sekumpulan wanita di Sungai Panjang, Sabak Bernam, Selangor sedang sibuk menyiapkan bubur gayam.

Sambil berbual, sedikit demi sedikit, air suam dimasukkan ke dalam adunan tepung pulut, garam dan air kapur yang diuli hingga adunan tidak lagi melekat di jari.

Kemudian, adunan tersebut digentel di atas daun pisang sehingga menjadi bebola bersaiz kecil yang diberi nama gayam.

Setelah selesai, gayam dimasukkan ke dalam kawah berisi kuah hasil adunan santan kelapa, gula merah, gula pasir, garam dan daun pandan yang telah dikacau sehingga mendidih.

Juadah tersebut tersedia untuk dimakan setelah gayam-gayam tersebut timbul di atas permukaan bubur yang mendidih tadi.

Menurut Sariah Abd. Aziz, 72, bubur gayam sering dihidangkan pada majlis keraian masyarakat Banjar, perkahwinan, kenduri doa selamat dan sebagainya.

“Sekiranya adunan tepung, garam dan air kapur digentel bulat, namanya gayam. Sekiranya dileperkan, namanya wadai kiping.

“Jika mahu kelainan dan rasa lebih padu, boleh tambah buah durian ke dalam kuah sebelum memasukkan gayam.

“Bubur ini juga lebih sedap sekiranya dimakan dengan ais atau disejukkan terlebih dahulu,” kata wanita yang mesra disapa sebagai Mak Long itu.

Sariah (kanan) bersama adiknya, Baidah Abd. Aziz sedang menggentel gayam untuk membuat bubur gayam.

Bubur gayam merupakan salah satu makanan tradisi masyarakat Banjar yang menjadi makanan kemestian sekiranya terdapat penganjuran majlis di Sungai Panjang.

Mengikut sejarah, masyarakat Banjar berasal dari Kalimantan Selatan dan dipercayai telah berada di Tanah Melayu sejak akhir abad ke-19.

Mereka meninggalkan Kalimantan Selatan atas faktor ketegangan politik dan berhijrah ke Tanah Melayu yang pada masa itu penuh dengan tarikan ekonomi.

Selain daripada Banjar, Sungai Panjang turut dihuni etnik Jawa yang datang dari Jawa Tengah dan Jawa Timur pada sekitar penghujung abad ke-19.

Etnik Banjar di Sungai Panjang terkenal dengan masakan bubur gayam, manakala etnik Jawa di situ pula popular dengan sajian punten.

Menurut Sungai Panjang Agro Tourism Sdn. Bhd., dua juadah tersebut merupakan dua sajian yang sering diperkenalkan kepada pengunjung yang datang ke Sungai Panjang untuk merasai gastronomi sebenar masyarakat di situ.

Bubur gayam juadah terkenal dalam kalangan etnik Banjar.

Bagi daerah Sabak Bernam, subetnik Banjar terdiri daripada Banjar Alai, Banjar Kalua, Banjar Negara, Banjar Amuntai dan Banjar Kandangan.

Setelah lebih satu abad berlalu, masyarakat Banjar di Malaysia secara umum sekurang-kurangnya sudah sampai ke generasi kelima.

Cerita Mak Long lagi, generasi muda mereka lebih suka berbahasa Malaysia sehingga menyebabkan bahasa etnik itu hampir hilang ditelan zaman.

“Budak-budak sekarang sudah tidak faham sangat bahasa Banjar. Jadi tinggal kami yang tua-tua sahaja masih lagi berkomunikasi.

“Ini kerana ramai kalangan generasi muda sudah banyak bergaul dengan ramai rakan dari luar suku,” katanya.

Sementara itu, masyarakat Jawa di Sungai Panjang pula terdiri daripada subetnik Jawa Ponorogo dan Jawa Pegelen.

Mereka dikatakan masih mengekalkan tradisi budaya dan bahasa pertuturan Jawa dalam konteks seharian.

Senduk digunakan untuk melenyek nasi dan membentuknya lonjong bagi penghasilan punten.

Makanan tradisi yang masih menjadi ruji generasi masa kini masyarakat Jawa di situ adalah punten. Punten merupakan makanan seakan-akan nasi himpit dengan rasa berlemak yang dihidangkan dengan sambal hijau cili padi.

Menurut seorang penduduk berketurunan Jawa Ponorogo, Siti Hajar Tuklifteh Ibrahim, 56, hidangan punten merupakan makanan popular dalam kalangan pesawah padi.

Sifat punten yang mudah dibawa dan mampu bertahan lama menjadikannya sajian pilihan bagi golongan bawahan etnik tersebut.

Siti Hajar turut berbesar hati menunjukkan cara-cara pembuatan punten kepada masyarakat luar sekiranya diperlukan.

“Untuk nasi punten, kita perlukan beras, santan dan daun pandan. Masukkan semua bahan ke dalam periuk nasi, gaul dan masak seperti biasa. Bila dah kering, biarkannya dalam keadaan suam selama dua jam. Kemudian, lenyek nasi dan buat bentuk lonjong menggunakan senduk,” katanya.

Resipi sambal cili padinya pula meliputi bawang merah, bawang putih, halia, cili hijau (cili padi dan cili besar), ikan bilis, asam jawa, belacan, garam dan serbuk perasa yang ditumis bersama.

Tambahnya, pilihan sambal boleh divariasikan sama ada sambal sardin, sambal udang kering, sambal ikan masin dan sambal telur.

“Resipi ini adalah resipi turun-temurun keluarga. Jadi, saya tidak pasti sama ada ia datang dari Indonesia atau sama dengan masakan Jawa di tempat lain. Masakan ini boleh didapati dengan mudah di sini kerana ramai yang menjualnya,” tuturnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN