CANBERRA – Seorang wanita warga Amerika Syarikat (AS) ditahan di Australia selepas sepucuk pistol bersalut emas 24 karat ditemui di dalam bagasinya, lapor Badan Penyiaran Britain (BBC) semalam.
Wanita dari Los Angeles yang identitinya tidak didedahkan itu tiba di Sydney dan tidak mempunyai permit untuk senjata api berkenaan, kata Pasukan Sempadan Australia (ABF).
Dia boleh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun.
Gambar yang dikeluarkan oleh ABF menunjukkan imbasan bagasi wanita itu di lapangan terbang yang mendedahkan senjata api berkenaan. Gambar kedua pula menunjukkan pistol yang ditemui selepas beg itu dibuka.
Seorang pegawai ABF dalam satu kenyataan berkata, teknologi pengesanan canggih telah membantu menghalang senjata berbahaya daripada memasuki negara itu.
“Dari masa ke masa, kami melihat betapa tepatnya pegawai ABF menyasarkan dan menghentikan barangan yang menyalahi undang-undang serta sangat berbahaya daripada melintasi sempadan Australia,” kata Komander ABF, Justin Bathurst.
Pegawai ABF berkata, wanita berusia 28 tahun itu didakwa dan dihadapkan ke Mahkamah Tempatan Downing Center pada Isnin lalu di mana dia diikat jamin.
Dia juga berdepan pembatalan visa dan diusir dari Australia sementara menunggu keputusan prosiding mahkamah. – Agensi