fbpx
ALICIA AMIN

Janda? Alicia Amin tiada masalah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENYAMBUT Aidilfitri berstatus janda, si tinggi lampai Alicia Amin tidak sensitif istilah tersebut disuakan ke mukanya. Tiada apa yang harus dipertikaikan, kerana itulah realiti hidup baginya.

“Ada ke wanita solo sambut raya dengan bekas suami?” soal si tinggi lampai, Alicia Amin seraya berseloroh.

Pemilik nama lengkap Raja Alicia Raja Amin itu ditebak persoalan sama ada dia terbuka untuk beraya di rumah mantan suaminya, Dr. Farzan Iqbal.

Kendatipun, model dan pelakon jelita itu menegaskan perceraian dengan lelaki itu sekitar Mac lalu, tidak merosakkan hubungan baik antara mereka.

Foto: FARIZ RUSADIO Solekan: SHIYO JOO Tatarias: AFIQ M. Busana: AFIQ M. Rambut: CODYCHUA

“Tiada sebab untuk kami berdendam ataupun membenci satu sama lain. Kami berpisah dalam terma yang baik. Itu saya berani katakan. Bukan disebabkan orang ketiga atau kami curang.

“Dia doakan yang terbaik buat saya dan begitu juga energi sama yang datang daripada saya.

“Kami hormat pendirian masing-masing. Jodoh tak panjang antara kami.

“Sebelum memutuskan untuk bercerai, kami dah berbincang sebagai orang dewasa. Apabila dah capai kata putus, kita pergi mahkamah dan bercerai. Bosan sebenarnya cerita perceraian kami ini, namun itulah yang berlaku sebab memang tiada drama langsung.

“Kalau nak dijadikan drama Akasia, memang tak layak dan orang takkan tonton (ketawa),” katanya kepada HibGlam.

Tahun ini, Alicia menyambut lebaran bersama keluarga dan kenalan rapat di ibu negara dan Kuching, Sarawak.

Gelaran janda satu hakikat

Alicia berkata, dia tidak kisah menyambut perayaan terbesar umat Islam itu dengan status seorang janda.

“Ada orang tak suka dengan gelaran janda. Tapi buat saya, it is what it is (itulah hakikatnya). Ada orang berpendapat, perkataan janda itu kotor tapi buat saya, tiada masalah pun.

“Saya terima hakikat bahawa jodoh dengan bekas suami tak panjang. Masa kahwin dahulu pun mungkin kami belum betul-betul matang.

“Kami masing-masing sibuk dengan kerja. Dia sibuk di hospital, saya juga begitu dengan kerjaya sebagai seorang anak seni. Saya tiada benda buruk nak cakap tentang bekas suami.

“Pernah menjadi isteri kepadanya antara pengalaman hidup yang mematangkan. Nak cerita lebih mendalam tentang rumah tangga atau krisis yang tercetus, saya tak rasa itu satu perihal yang wajar.

“Cukuplah orang tahu jodoh tak panjang dan selepas setahun hidup bersama, kami sedar tiada lagi persefahaman,” jelasnya.

MASIH menjalin hubungan baik dengan bekas suami, Alicia bagaimanapun menafikan cinta antaranya dengan Farzan kembali bertaut.

Rendang 8kg, ‘Met Gala’

Diajak berbicara tentang sambutan Aidilfitri tahun ini, pelakon siri The Bridge itu berkata, dia bercuti buat seketika demi menghabiskan masa bersama keluarga dan kenalan rapat.

“Tahun ini, saya masak rendang untuk keluarga. Saya akan beraya di Kuala Lumpur dan di Kuching, Sarawak.

“Masak rendang kecil-kecilan sahaja. Mungkin dalam lapan kilogram (8kg). Orang tahu sebelum ini saya ada buat bisnes rendang.

“Apa yang saya teruja tentang raya, adalah ‘Met Gala’ untuk Muslim. Pakai baju warna-warni.

“Baru kurung, baju Melayu dan kebaya apa semua. Itu adalah antara perkara yang saya memang tak sabar nak tengok setiap kali raya,” katanya yang bakal muncul dengan telefilem raya berjudul, Biar Biasa Biasa menerusi saluran Astro.

Barangkali ada dalam sebilangan netizen yang skeptikal sama ada Alicia menyambut lebaran disebabkan gaya hidup yang kelihatan hedonistik dan kebaratan.

Bertatu dan sentiasa memperagakan busana mencolok mata, Alicia tidak mempunyai masalah apabila ramai yang kerap mengecam dirinya.

Baginya, apa yang dipaparkan secara luaran tidak semestinya apa yang terkandung dalam jiwa.

Alicia mengakui tidak mempunyai sebarang masalah dengan gelaran janda yang menjadi gelaran terkininya kerana itulah hakikat status diri buat masa sekarang.

‘Iman tak nampak, terpulang’

Jawabnya, soal iman atau hubungan dengan Tuhan lebih baik tidak terlalu didendangkan kepada umum.

“Soal pegangan iman, itu antara saya dengan Dia yang di atas. Orang hakimi saya dari segi luaran, adakah mereka tahu apa yang terbuku dalam hati saya?

“Tapi, saya tak kisah orang nak cakap apa. Saya tahu saya orang yang macam mana. Kenalan rapat dan keluarga tahu saya.

“Kita di Malaysia, masyarakatnya berbilang kaum. Janganlah sempitkan fikiran kita dengan hanya satu dua perkara. Semua perayaan kita hormat. Melayu, Cina, India semua kita hormat.

“Saya percaya iman setiap orang Islam ada iman masing-masing. Sama-samalah kita raikan perbezaan kerana itulah yang membuatkan Malaysia sangat unik di mata dunia,” ungkapnya menggulung perbualan.

ALICIA menganggap suasana sambutan hari raya tak ubah seperti peragaan fesyen tahap mega ‘Meet Gala’ yang meriah variasi gaya, warna dan tema.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN