fbpx

‘Mat rempit’ serah diri, mengadu lapar mahu makan juadah raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEKUMPULAN mat rempit yang bersembunyi di dalam kebun kelapa sawit sejak pukul 3 pagi serah diri selepas mengadu lapar, mahu makan juadah raya. - Foto ihsan polis

KULAI – Sekumpulan mat rempit yang kelaparan dan merindukan juadah Aidilfitri terpaksa keluar daripada tempat persembunyian mereka di kawasan semak dan kebun kelapa sawit, semalam.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superitendan Tok Beng Yeow berkata, kesemua ‘mat rempit’ berkenaan ditahan selepas mereka menyerah diri kepada polis di Kilometer 7, Jalan Kulai-Kota Tinggi, di sini.

Katanya, kejadian itu berlaku pada pukul 9 pagi, hari raya pertama Aidilfitri, semalam.

“Semasa operasi dijalankan, kebanyakan penunggang motosikal terbabit bertindak sembunyi ke dalam kawasan kebun sawit sekitar pukul 3 pagi. Kebanyakan daripada mereka cuba untuk melarikan melalui ‘jalan tikus’ yang telah dikepung pihak polis.

“Akhirnya pada pukul 9 pagi, satu persatu ‘mat motosikal’ itu menyerah diri disebabkan menemui jalan buntu untuk melarikan diri.

“Mereka berkata tidak tahan dengan keadaan dalam kebun sawit yang panas ditambah pula ada yang menyatakan lapar dan rindu juadah hari raya pertama,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Antara motosikal mat rempit yang ditahan dalam Op Selamat oleh IPD Kulai. – Foto ihsan polis

Tambah beliau, sekumpulan ‘mat rempit’ itu ditahan dalam Op Selamat yang melibatkan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) dibantu cawangan unit peronda (MPV) serta cawangan pengangkutan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.

“Operasi khas selama 18 jam itu diketuai Inspektor Alexander Jeremy Jimy dari BSPT IPD Kulai bersama pegawai dan 13 anggota bermula pukul 11 malam, Jumaat sehingga 5 petang Sabtu.

“Sebanyak 140 saman dikeluarkan antaranya tiada lesen memandu, tiada perlindungan insurans, lesen kenderaan (LKM) tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut peraturan, ubah suai ekzos, tidak memakai topi keledar dan pelbagai kesalahan lain.

“Sebanyak 39 buah motosikal turut disita di bawah Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI