fbpx

Rumah musnah terbakar, 22 sekeluarga tumpang raya rumah jiran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli keluarga Md. Jamhuni termenung melihat sisa kebakaran rumah mereka di Kampung Padang Setar, Hulu Terengganu, hari ini.

HULU TERENGGANU – Sepasang suami isteri warga emas bersama kira-kira 20 ahli keluarga mereka terpaksa menumpang rumah jiran untuk berhari raya esok, setelah kediaman mereka di Kampung Padang Setar, di sini musnah terbakar, semalam.

Dalam kejadian pada pukul 4.10 petang itu, keluarga Md. Jamhuri Sanusi,70, dan isterinya, Zabedah Mohd, 68, tinggal sehelai sepinggang.

Hanya sebahagian pakaian raya anak menantu mereka yang pulang berjaya sempat diselamatkan.

Menantu mereka, Muhaiza Mohamad, 43, berkata, sewaktu kejadian dia sedang tidur di beranda rumah sebelum dikejutkan oleh salah seorang ahli keluarga yang terhidu bau hangit dari sebuah bilik tidur.

“Waktu itu, api telah pun marak dalam bilik berkenaan dan dalam kelam-kabut, saya sempat selamatkan sebahagian pakaian dan dokumen sahaja. Tidak sampai setengah jam, rumah mertua musnah terbakar.

“Walaupun sedih namun tetap bersyukur kerana semua ahli keluarga kami terselamat,” katanya ketika ditemui Kosmo! di lokasi kejadian, di sini hari ini.

Muhaiza berkata, dia dan isteri, Suria Arfah, 39, serta empat anak mereka berusia enam bulan hingga 13 tahun baru tiba ke kampung dari Kuala Lumpur, petang kelmarin.

Katanya lagi, sebahagian besar daripada tujuh anak mentuanya sudah pulang ke kampung untuk merayakan Aidilfitri yang bakal disambut esok.

“Kami sekeluarga akan meraikan Aidilfitri di rumah kosong jiran yang terletak bersebelahan dan selepas ini saya berhasrat untuk membawa kedua ibu bapa mentua pulang ke Kuala Lumpur,” katanya.

Sementara itu, Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Berang, Zuradi Mohd. Yusof berkata, rumah keluarga Md. Jamhuri telah 75 peratus musnah terbakar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI