fbpx

Raysha Rizrose kali pertama raya bersama suami

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAYSHA menamatkan zaman bujangnya dengan pelumba kereta F3, Nabil Jeffri sebulan sebelum menyambut kedatangan Ramadan.

BERBELAS tahun menjalin cinta, hanya sebulan sebelum Ramadan 2023, si cantik Raysha Rizrose akhirnya menamatkan zaman bujang pada 22 Februari lalu.

Secara tidak langsung, dari situ bermulanya kehidupan berdua buat Raysha.

Pastinya bahtera perkahwinan yang baru dibina pelakon jelita itu mengubah 360 darjah kehidupannya terutama sekali semasa hari raya.

Jika selama ini hanya ada ibu bapa dan adik-beradik, tahun ini lebaranya disempurnakan dengan kehadiran lelaki bernama suami.

Meskipun masih dalam proses memahami liku kehidupan berumah tangga, pemilik nama sebenar Farza Naquraisha Mohd. Fariz tidak sabar untuk membawa suaminya, yang juga merupakan pelumba kereta F3 negara merasai suasana beraya di kampung.

“Selepas berkahwin, saya lebih teruja untuk beraya bersama, namun saya agak nervous (gementar) untuk beraya dengan keluarga mentua dan membawa balik suami beraya dengan keluarga sendiri.

“Apa pun saya seronok untuk beraya kali ini. Baju pun perlu tempah untuk dua orang,” kata selebriti berusia 27 tahun itu.

Disebabkan sudah tiada ahli keluarga terdekat berada kampung halaman di Kelantan, Raysha hanya akan beraya di Kuala Lumpur (KL) bersama suami.

“Kami akan beraya di KL sahaja kerana tiada perancangan untuk pulang ke Kelantan memandangkan tiada siapa di sana.

“Suami pula orang KL jadi memang sangat senanglah. Kebetulan tahun ini kami tidak pulang beraya di Kelantan. Seronok juga kalau dapat pulang ke kampung dan merasai sendiri suasana beraya di sana,” jelasnya.

Ditebak mengenai kehidupan selepas berumah tangga semasa menyambut Ramadan lalu, Raysha menyifatkan rutin hidupnya berubah kerana perlu memberikan fokus kepada suami tercinta, Nabil Jeffri.

“Perasaan selepas berkahwin rasa pelik sebab kena biasakan diri ada orang lain dalam rumah.

“Kalau dahulu boleh balik tenang-tenang, tetapi sekarang kena fikir nak masak apa, terutama waktu sahur.

“Apabila sudah berkahwin, saya banyak merenung kembali tingkah laku yang tidak boleh dilakukan kerana sudah ada suami,” ujar pelakon berusia 27 tahun itu.

TIADA impian menggunung, harapan Raysha cuma seluruh anggota keluarganya berada dalam keadaan sihat dan selamat sepanjang musim raya.

Proses kenal suami

Menceritakan mengenai kehidupan berumah tangga, Raysha semakin mengenali suaminya walaupun sudah lebih 10 tahun bercinta.

“Suami saya memang sangat berbeza. Dia seperti orang baharu kerana lebih bertanggunjawab walaupun sudah lama bercinta sebelum ini.

“Sebelum ini sebagai pasangan kekasih tidak pernah duduk sekali jadi saya tidak tahu keperibadiannya sebagai suami,” kata pelakon filem Seandainya Kau Ada.

Melihat kepada perubahan ketara si suami, secara tidak langsung Raysha juga ingin berubah untuk kebaikan bersama dalam berumah tangga.

Adik tiri Uqasha itu juga menerapkan beberapa rutin baharu dalam hidupnya untuk dijadikan sebagai tabiat sebagai seorang isteri.

“Saya pula berharap dapat berubah sikit demi sikit dari semua sudut. Contohnya setiap kali bangun saya akan tegur dia dulu dengan senyuman dan akan meminta maaf sebelum tidur walaupun tidak ada salah.

“Perkara tersebut harus dilakukan daripada sekarang untuk dijadikan tabiat walaupun baru berkahwin,” tutupnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI