fbpx

Indahnya Malaysia ada banyak cuti panjang – Michelle Yeoh

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MICHELLE percaya bahawa Malaysia mampu bersaing di peringkat global dalam dunia perfileman kerana nilai kekayaan budayanya yang sangat unik - MOHD. FIRDAUS. MOHD. JOHARI

KUALA LUMPUR – Seniwati kebanggaan Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh menyifatkan kemajmukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum adalah tunjang utama dirinya berjaya mencipta nama sebagai bintang filem antarabangsa.

Michelle atau nama sebenarnya, Yeoh Choo Kheng, 61, berkata, di mana-mana sahaja beliau berada di serata dunia, itu yang membuatkan dirinya unik di mata orang lain.

“Satu perkara yang unik tentang Malaysia adalah kita berbilang kaum. Kita hidup bersama dan hormat budaya masing-masing. Saya rasa, itu yang secara asasnya membuatkan saya seorang yang mampu bersaing di peringkat global atau antarabangsa.

“Ke mana-mana sahaja saya pergi, saya tak nampak sebarang perbezaan. Saya lihat bagaimana saya boleh belajar daripada orang lain,” katanya.

Jelas pelakon filem kelahiran Ipoh, Perak itu, Malaysia sebuah negara yang indah dan kelebihan tersebut perlu digunakan rakyat semaksima untuk terus mengibarkan Jalur Gemilang di peringkat antarabangsa.

“Di sini (Malaysia), kita belajar daripada kawan-kawan berlainan bangsa iaitu Melayu, India dan Cina. Dulu ada satu iklan dibuat seorang pengarah yang telahpun meninggal dunia (merujuk Allahyarham Yasmin Ahmad). Saya lupa namanya.

“Ada babak seseorang bertanya sekumpulan kanak-kanak apa bangsa mereka. Saya ingat ada budak Melayu, Cina dan India. Mereka duduk bersama dan terpinga-pinga dengan soalan tersebut.

“Mereka tak rasa diri mereka berbeza. Mereka faham di Malaysia ada bermacam-macam budaya dan pegangan agama. Tak macam negara lain, Malaysia ada banyak cuti panjang untuk disambut.

“Kita ada hari raya Aidilfitri, Thaipusam, tahun baharu Cina dan bermacam lagi. Kita memang berbeza tapi itulah keindahan negara kita. Perlu sama-sama raikan perbezaan bersama untuk maju ke hadapan,” kata anak Malaysia pertama yang menang trofi Oscar itu.

Rabu lalu, Michelle pulang ke tanah air bertemu dengan media dan para peminat tempatan buat pertama kali selepas menang anugerah Pelakon Wanita Terbaik pada Academy Awards ke-95 sekitar Mac.

Michelle mencatat sejarah sebagai anak Malaysia pertama menggondol trofi berprestij tersebut menerusi lakonan luar biasa sebagai Evelyn Quan Wang dalam filem fenomena, Everything Everywhere All at Once. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI