fbpx

Mahkamah: Pemilik dijel sebulan lepaskan anjing peliharaan sampai wanita cedera parah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang lelaki melepaskan anjing peliharannya jenis Belgian Shepherd sehingga menyebabkan seorang wanita cedera, membawa padah apabila dia dihukum penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Majistret Nurul Izzah Shaharuddin menjatuhkan hukuman itu ke atas N.Trini Emmanuel Nettar, 53, selepas lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.

Mahkamah turut memerintahkan bapa empat anak itu menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap iaitu pada 18 April lalu.

Mengikut pertuduhan, Trini Emmanuel didakwa telah mendatangkan bahaya atau musibah kepada seorang wanita berusia 35 tahun dengan cara melepaskan seekor anjing jenis Belgian Shepherd miliknya sehingga menyebabkan wanita itu cedera parah.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan sebuah rumah di Jalan Nangka, Off Jalan Kovil Hilir Perhentian, Sentul di sini pukul 7.30 malam pada 16 April lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 289 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, Trini Emmanuel yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda minimum dengan alasan dia tidak bekerja serta menanggung keluarga dan memohon maaf kepada semua pihak atas kesalahan tersebut.

“Saya memohon maaf atas kesalahan ini dan kepada semua pihak,” kata tertuduh.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Amalina Johar memohon hukuman penjara kerana tindakan tertuduh melepaskan anjing telah menyebabkan mangsa cedera parah.

“Pihak pendakwaan memohon hukuman penjara dikenakan agar memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat supaya menjaga haiwan peliharaan mereka,” kata Amalina. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI