MENCECAH usia 26 tahun, pelakon yang sedang meningkat naik, Siti Khadijah Halim pernah meletakkan sasaran untuk berkahwin pada usia sekarang.
Namun, impiannya tidak kesampaian apabila hubungan tersebut putus di tengah jalan gara-gara penyakit ain.
Menurut Siti Khadijah, perkara tersebut menjadi pengajaran buat dirinya agar tidak selalu berkongsi perihal peribadi dalam media sosial.
“Sebelum jadi artis saya seorang pensohor media sosial, jadi semua benda saya kongsi dalam media sosial. Cerita pasal kucing, keluarga dan pasangan selalu jadi topik utama.
“Saya tidak sedar apa yang saya kongsi itu menimbulkan rasa kurang senang orang lain. Dahulu kita tak tahu ada penyakit ain ni.
“Saya banyak cerita tentang masa depan dan rancangan saya untuk berkahwin dengan kekasih ketika itu. Tapi semuanya gagal dan kami putus atas sebab-sebab tertentu,” ceritanya.
Kata Siti Khadijah, dia kini bersikap lebih tertutup terutama berhubung hal peribadi dan keluarga bagi mengelakkan terjadinya perkara tidak diingini.
Gagal dalam hubungan cinta lalu membuatkan hatinya kini tertutup untuk mencari cinta, Siti Khadijah berkata, dia meletakkan soal jodoh kepada takdir yang ditetapkan Allah.
“Sekarang saya tiada sasaran lagi nak kahwin bila. Biarlah jodoh itu datang sendiri suatu hari nanti.
“Saya yakin aturan Allah SWT itu yang terbaik. Kalau saya kahwin, saya tiada di tempat sekarang,” ujarnya.
Pelakon yang popular dengan drama Sekali Lagi Cinta Kembali itu mengakui cuba mengelakkan daripada menjalinkan cinta lokasi atau jatuh hati sesama artis.

– AFIQ RAZALI
Elak cinta artis
SEDAR tidak semua percintaan menyatukan, si cantik Siti Khadijah seboleh-bolehnya enggan menerima cinta sesama artis. Dia tidak mahu menggadaikan persahabatan, bahkan mengelak rasa janggal dalam berkarier sekiranya cinta tidak kesampaian.
Alasan Siti Khadijah, dia enggan berasa janggal jika bertemu di majlis-majlis hiburan sekiranya hubungan tersebut tidak kesampaian.
“Saya tak minat cinta lokasi, mungkin perkara itu bukan untuk saya. Saya jenis yang kalau bekerja, cara bercakap saya lain, tak selembut macam orang selalu tengok dalam media sosial.
“Saya memang tak nak mereka (hero) jatuh cinta dengan saya. Saya selesa dalam ruang ‘friendzone’ (persahabatan).
“Bukan apa, saya tidak mahu jika putus dan bertemu lagi di majlis-majlis hiburan. Dunia seni di Malaysia ini kecil saja balik-balik jumpa.
“Kalau boleh, saya nak berkawan lama dengan mereka sebab itu tak nak bercinta.
“Lagi pun saya lihat ramai kawan saya yang lalui perkara begini. Apabila putus cinta, mereka mengelak daripada terjumpa mana-mana majlis,” ujarnya.
Berkongsi tentang kerjaya seni, Siti Khadijah bersyukur, namanya kini mula dikenali selepas empat tahun bertapak dalam industri.
Katanya, empat tahun masa terbaik dalam mempersiapkan diri menjadi lebih matang sebelum dikenali ramai.
“Ada yang kata tempoh itu lama, ada yang cakap sekejap. Bagi saya, semua itu tepat dan cantik aturannya.
“Kalau boleh saya tidak mahu jadi ‘one hit wonder’. Biar lambat tapi konsisten. Tak mahulah cepat naik, cepat turun.
“Alhamdulillah, pada tahap ini saya tidak rasa saya sudah popular. Ramai juga pengarah yang nasihatkan saya agar jangan sombong atau lupa diri apabila sudah di atas.
“Dari segi persaingan, hal itu memang wujud tapi saya anggap semuanya positif. Mahu atau tidak saya kena hadap sebab ini bisnes,” ujarnya yang bakal muncul dengan drama terbaharu berjudul Segenap Takdir.

Pengurus
Semakin popular bererti semakin banyak urusan perlu ditangani. Tidak menang tangan menguruskan karier sendirian, Siti Khadijah berasakan sudah sampai masanya untuk mencari seseorang yang sesuai bagi mengendalikan kerjaya seninya.
Berkira-kira ke arah mencari pengurus sendiri, Siti Khadijah bagaimanapun didatangi kebimbangan berkaitan isu kepercayaan.
“Buat masa sekarang saya masih menguruskan kerjaya sendiri tanpa bantuan pengurus.
“Saya fikir perlu ada seseorang yang boleh menolak (mendorong) saya untuk pergi lebih jauh, terutama dalam menguruskan iklan dan tajaan.
“Namun, saya ada masalah kepercayaan kerana selalu dengar kawan-kawan kena tipu dan rugi puluhan ribu kerana pengurus tidak bertanggungjawab.
“Kita kerja penat sudah tentu kita kena berhati-hati,” ujarnya.















