RINDU kepada keluarga Mak Su dan rakan-rakan di kampung. Itu yang dirasakan remaja itu yang sudah dua tahun berpisah dengan mereka, lebih-lebih lagi ketika Syawal kini kian menjelang.
Tinggal berjauhan kerana keperluan penjagaan kesihatan diri, membuatkan Khairul, 15, perlu kuat mengharungi hari-hari tanpa mereka.
Pada Aidilfitri tahun ini seperti sebelumnya, Khairul memberitahu, dia akan beraya bersama rakan-rakan yang lain di rumah perlindungan Pertubuhan Amal dan Kebajikan Anak-Anak Tersisih (PAKAT) Selangor.
“Saya membesar tanpa ibu dan ayah, tidak tahu di mana mereka. Mak Su yang jaga saya di kampung sebelum saya dihantar ke sini.
“Memang ada masa saya akan rindu suasana di kampung, tambahan pula jika setiap kali Aidilfitri, saya dan rakan-rakan akan berjalan sekitar kampung untuk beraya,” katanya ketika ditemui K2 di rumah PAKAT Selangor baru-baru ini.
Khairul merupakan salah seorang daripada anak-anak yang kurang bernasib baik dan merupakan penghidap HIV sejak lahir.

Mewarisi penyakit itu daripada ibu bapanya, dia dibawa ke rumah PAKAT Selangor yang terletak di Kapar, Klang selepas pihak hospital di Perak yang merawatnya mendapati dia tidak mendapat penjagaan sepatutnya oleh pihak keluarga.
Ini termasuk tidak mengambil ubat mengikut masa yang ditetapkan yang mana menyebabkan virus dalam badannya aktif serta menjejaskan kesihatannya.
Menurut Khairul, dia mengakui, di kampung, jadual pemakanan ubatnya agak tunggang langgang hingga ada kalanya dia mengabaikan dos harian yang wajib diambilnya.
“Pada usia kecil, saya sudah diberi ubat, namun ketika itu belum betul-betul faham apa yang sebenarnya ada di dalam badan saya (HIV).
“Mak Su ada ingatkan tapi kadangkala saya yang degil dan sibuk mahu keluar bermain dengan kawan-kawan,” ujarnya.
Berbeza dengan Khairul, seorang lagi penghuni, Atikah, 19, pula sudah tujuh tahun menetap di rumah PAKAT Selangor. Menurut gadis berasal Kuala Lumpur itu, dia dihantar ke situ kerana dia dan abangnya, Iqram, 23, merupakan penghidap HIV sejak kecil dan telah dibuang keluarga.
“Sejak kecil saya hanya ada abang dan kami membesar tanpa ibu dan ayah serta penjagaan rapi untuk keadaan kami.
“Sehinggalah kami dibawa ke sini (rumah PAKAT), saya bersyukur kerana ada pihak yang mahu menjaga dan menguruskan keperluan perubatan saya dan abang,” kongsinya.
Tambahnya lagi, dia gembira menetap di rumah PAKAT Selangor kerana di situ dia dapat merasakan suasana kekeluargaan dan penjagaan yang baik oleh pengetua dan penjaga di sana.

Tambahan pula, Atikah lebih gemar menyambut Aidilfitri bersama penghuni di rumah PAKAT Selangor yang mana sejak tinggal di situlah Atikah baru dapat merasai nikmat menyambut raya.
“Kalau di Kuala Lumpur, saya dan abang tak pernah menyambut raya kerana ketika itu tiada siapa yang peduli tentang kami. Namun, di rumah PAKAT Selangor, saya dapat rasa suasana menyambut lebaran, membuat persiapan, kuih raya dan dapat baju raya baharu setiap tahun,” jelasnya.
Seperti Atikah perkara tersebut turut dilalui oleh anak-anak lain di rumah PAKAT Selangor yang juga merupakan golongan asnaf dengan sebahagian adalah anak-anak HIV.
Berhubung PAKAT Selangor, ia merupakan sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang ditubuhkan pada tahun 2012. Pertubuhan ini memberi fokus untuk membantu anak-anak asnaf dan kurang bernasib baik serta anak-anak penghidap HIV.
Pada tahun 2014, PAKAT Selangor membuka sebuah rumah perlindungan dan kebajikan yang bertujuan menjaga anak-anak yang dibantu mereka dengan memberikan tempat berlindung.
Boleh menempatkan sehingga 20 penghuni pada satu masa, rumah Pakat Selangor terletak di Kampung Bukit Kerayong, Kapar.
Menurut Pengetuanya, Helmi Abdullah, 48, rumah PAKAT Selangor juga memberi fokus untuk membantu anak-anak HIV dengan memberikan penjagaan sepatutnya kepada mereka.
“PAKAT Selangor memberi fokus untuk membantu memberikan rumah perlindungan buat anak-anak kurang bernasib baik, asnaf dan penghidap HIV.
“Rumah ini mempunyai 17 orang penghuni yang mana lapan daripadanya merupakan anak-anak yang menghidap HIV dan diabaikan oleh keluarga,” katanya.
Tambah Helmi lagi, pihaknya mempunyai anak-anak jagaan yang berusia antara 4 hingga 23 tahun.

Secara amnya, hak penjagaan bagi anak-anak penghuni hanyalah sehingga 18 tahun, tetapi PAKAT Selangor masih membolehkan penghuni yang melepasi had usia itu untuk tinggal di situ sehingga mereka bersedia untuk menempuh dunia luar.
“Kebanyakan mereka tidak mempunyai ibu dan ayah serta keluarga, malah mereka tiada tempat untuk dituju selepas umur 18 tahun, jadi saya memberi ruang untuk mereka tinggal sementara mereka mampu berdiri di atas kaki sendiri.
“Rumah PAKAT bukan sekadar beri mereka pelindungan semata-mata, tetapi kami turut bantu mempersiap diri mereka dengan pengisian rohani dan jasmani untuk menempuh alam dewasa kelak,” ujarnya.
Kongsinya lagi, antara cara untuk membantu anak-anak tersebut adalah dengan mengajar mereka kemahiran yang boleh dimanfaatkan untuk menjana pendapatan.
Misalnya, pada bulan puasa, Rumah PAKAT Selangor mengambil tempahan kuih raya yang dibuat oleh anak-anak penghuni di situ.
Ini merupakan antara set kemahiran yang diterapkan kepada anak-anak di mana mereka belajar tentang pembuatan biskut raya dan selok-belok perniagaan.














