fbpx

Penganggur maut, motosikal rempuh kereta masuk simpang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Keadaan kereta Perodua Myvi yang remuk selepas dirempuh sebuah motosikal di Kilometer 37, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Taman Desa Bakti, Machang hari ini. - Foto ihsan polis

MACHANG – Seorang penganggur maut selepas motosikal yang ditunggangnya merempuh sebuah kereta yang sedang membelok masuk simpang di Kilometer 37, Jalan Kota Bharu-Kuala Krai dekat Taman Desa Bakti di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu, mangsa, Rostam Abd. Rasid, 49, maut di lokasi kejadian selepas cedera parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Machang, Superintendan Mohd. Adli Mat berkata, siasatan mendapati, mangsa menunggang motosikal jenis SYM BX110 dari arah Machang ke Kota Bharu.

Menurutnya, dalam masa sama, sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang juruteknik memberi isyarat ke kanan dengan berhenti di tengah jalan di laluan terbabit.

“Ketika kereta tersebut membelok ke kanan, mangsa dipercayai tiba-tiba merempuh bahagian sisi kiri belakang kereta terbabit.

“Keadaan itu menyebabkan mangsa tercampak di simpang jalan Taman Desa Bakti sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian. Mayat mangsa dihantar ke Hospital Machang di sini untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd. Adli memberitahu, siasatan lanjut mendapati, nahas berlaku disebabkan kecuaian pemandu kereta yang gagal memastikan keadaan selamat sebelum memasuki simpang.

Katanya, pemandu kereta terbabit telah ditahan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI