fbpx

Liga Super: KDA FC gagal bangkit, tewas kepada KL City

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JARINGAN Jonathan Balotelli tidak cukup untuk menghadiahkan kemenangan kepada KDA FC yang terpaksa akur dengan kekalahan kepada KL City FC di Stadium Darul Aman, Alor Setar malam ini. - IHSAN KDA FC

ALOR SETAR – Hasrat Kedah Darul Aman FC (KDA FC) untuk bangkit setelah dibelasah Johor Darul Ta’zim (JDT) sebelum ini tidak kesampaian apabila tewas 3-2 dengan KL City di laman sendiri di sini, sebentar tadi.

Perlawanan berlangsung rancak sejak awal permainan dengan kedua-dua pasukan menampilkan aksi saling berbalas serangan.

Percubaan penyerang KDA FC dari Brazil, Jonathan Balotelli pada minit pertama didakap kemas penjaga gol KL City, Azri Ghani.

Dalam kerancakan kedua-dua pasukan berbalas serangan, gol pertama perlawanan hadir buat pasukan bimbingan Bojan Hodak pada minit ke-10.

Gol itu terhasil apabila bekas pemain KDA FC musim lalu, Tchetche Kipre berjaya lolos dari perangkap ofsaid di sebelah kanan gawang tuan rumah.

Dia kemudiannya melorongkan bola kepada Josue yang tidak dikawal dalam kotak penalti, untuk pemain naturalisasi negara itu mudah menewaskan penjaga gol KDA FC, Kalamullah Al-Hafiz dengan rembatan kaki kiri.

Meskipun dibolosi awal, semangat Sang Kenari tampak langsung tidak terjejas dan usaha anak-anak buah Nafuzi Zain untuk bangkit membuahkan hasil apabila Balotelli berjaya menghasilkan gol penyamaan pada minit ke-24.

Tidak cukup dengan itu, KDA FC terus mengukuhkan kedudukan apabila pertahanan import dari Serbia, Bojan Ciger menjaringkan gol kedua buat pasukan itu lima minit kemudian.

Memasuki babak kedua, kebijaksanaan Kipre yang sudah beberapa musim beraksi dalam kancah Liga Malaysia terserlah apabila hantarannya tepat kepada rakan sepasukan dari Colombia, Romel Morales bagi memudahkan pemain tinggi lampai itu menanduk bola ke gawang untuk gol kedua KL City, seminit kemudian.

Pasukan pelawat kemudiannya kembali berada di depan apabila pemain import dari Brazil, Herlison Caion De Souza yang menggantikan Kipre, berjaya menjaringkan gol ketiga buat pasukan itu pada minit ke-75. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI