fbpx

Malakoff agih bubur lambuk di Masjid Kampung Baru

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ANWAR SYAHRIN (tengah) menyerahkan bubur lambuk dan beg kitar semula di Masjid Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR – Kira-kira 1,000 penduduk sekitar Kampung Baru di sini, dapat menikmati bubur lambuk percuma yang diedarkan oleh Media Mulia Sdn. Bhd. (Media Mulia) dan Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) dalam program Kongsi Berkat Bubur Lambuk di Masjid Kampung Baru baru-baru ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Malakoff, Anwar Syahrin Abdul Ajib berkata, berkata tujuan penganjuran program itu adalah untuk memberi peluang kepada Kumpulan menyumbang kembali kepada komuniti khususnya dalam bulan yang mulia ini.

Menurut beliau, seperti tahun sebelumnya, Malakoff aktif menganjurkan program seumpama itu melalui aset di bawah syarikat miliknya di Johor, Perak dan Pulau Pinang seperti menyumbang kelengkapan persekolahan dan makanan, juga menyerahkan sumbangan kepada masjid dan kumpulan masyarakat lain yang memerlukan.

“Ini program bubur lambuk pertama kali diadakan di Kuala Lumpur, ramai orang kata, masyarakat di Kuala Lumpur semuanya hidup senang tetapi ramai penduduk di pusat ibu kota ini mempunyai masalah kehidupan disebabkan harga barangan yang mahal, jadi sumbangan bubur lambuk ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyerahan sumbangan bubur lambuk.

Tambah Anwar Syahrin, syarikat berminat untuk meneruskan usaha mulia ini pada masa akan datang, bukan tertumpu pada bulan Ramadan, namun ia akan diperluaskan dengan pelbagai aktiviti sebagai usaha untuk memberi semula apa yang diperolehi oleh Malakoff.

“Kami suka melaksanakan pelbagai program komuniti bukan sahaja perniagaan tetapi juga mahu mendekati dan memberikan semula kepada komuniti yang mempunyai perniagaan,” ujarnya.

Selain mengedarkan bubur lambuk, syarikat juga mengedarkan beg kitar semula yang boleh digunakan oleh orang ramai selain dapat memberi kesedaran terhadap kepentingan menjaga alam sekitar pada masa akan datang.

“Di sini juga kami mempunyai syarikat Alam Flora yang akan membantu dalam kerja-kerja pembersihan di sekitar kawasan, penduduk Kampung Baru. Masyarakat boleh mendapat manfaat perkhidmatan yang diberikan oleh Alam Flora di kawasan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Urusan dan Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar berkata, setiap tahun pihaknya akan bekerjasama dengan sebuah syarikat untuk menyambut bulan Ramadan dengan menganjurkan aktiviti bagi membantu seramai mungkin masyarakat setempat.

Katanya, ini merupakan tahun kedua syarikat menganjurkan pengagihan bubur lambuk dan ia akan diteruskan pada masa depan.

“Kami berterima kasih kepada Malakoff kerana bekerjasama dengan kami. Kita juga akan lihat cabang lain yang mana kerjasama ini dapat dilaksanakan,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI