fbpx

Insomniacks harap Lagu Raya tular

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
INSOMNIACKS

ENGGAN ketinggalan menyertai penyanyi zaman kini yang muncul dengan lagu raya, band popular Insomniacks tampil dengan sebuah dendangan khas sempena kedatangan Syawal tidak lama lagi.

Buat pertama kali, kumpulan itu yang kini tinggal bertiga kerana salah seorang ahlinya mengambil keputusan berehat seketika meluncurkan sebuah lagu raya sendiri.

Diberi judul Lagu Raya, karya yang dicipta oleh penyanyi kelahiran Indonesia, Yuka Kharisma tersebut mudah diingati dan mempunyai harapan untuk menjadi tular pada zaman sekarang.

Menurut vokalis kumpulan itu, Iqie atau nama sebenarnya Syed Mir Iqbal, dia menyifatkan Lagu Raya sebagai lagu yang paling mudah dihafal dan dipelajari setakat ini.

“Bagi saya, kalau ada pelajar yang perlu membuat persembahan pada Hari Raya kelak, lagu ini sangat sesuai didendangkan. Sangat mudah tapi pada masa sama cukup menghiburkan,” ujarnya.

Pelancaran lagu tersebut sekali gus menyaksikan ini merupakan kali pertama Insomniacks tidak terlibat dalam penulisan karya mereka.

Oleh itu jelas Iqie, untuk proses rakaman Lagu Raya, mereka cuma perlu memasukkan vokal dengan tempoh keseluruhan masa menyiapkan lagu tersebut sekitar 30 minit.

“Proses rakaman berjalan dengan sangat lancar. Kami juga sangat senang bekerja dengan Yuka dan ingin mengucapkan terima kasih kepadanya kerana memberikan lagu ini kepada kami,” ujarnya lagi.

CUACA panas menjadi satu-satunya cabaran sepanjang Insomniacks menjalani penggambaran video muzik Lagu Raya.

Cuaca panas

Tidak lengkap sebuah lagu tanpa video muzik, begitu juga dengan Lagu Raya Insomniacks.

Berkisar jalan cerita tentang sekumpulan kawan yang hendak pulang beraya di kampung merupakan konsep video muzik lagu tersebut.

“Agak memenatkan juga kerana kami terpaksa berjaga dari pukul 6 pagi hingga 6 petang. Tetapi pengalaman ini sangat menyeronokkan dan hasilnya begitu memuaskan,” cerita pemain bass, Iskandar.

Selain bersengkang mata, Iqie turut bercerita cabaran lain sepanjang penggambaran berlangsung iaitu melibatkan cuaca yang sangat panas.

“Ketika penggambaran, kami memakai baju Melayu. Jadi panasnya memang tidak boleh dibawa berbincang! Tapi nak kena nampak kekal tenang di hadapan kamera,” kongsinya mengimbau pengalaman penggambaran.

Lagu Raya Insomniacks boleh didengari menerusi semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, KKBOX, Deezer dan YouTube Music sejak 7 April lalu.

Sementara video muzik lagu tersebut boleh ditonton dalam YouTube Insomniacks.

PERTAMA kali muncul dengan dendangan Syawal, Insomniacks mengharapkan Lagu Raya dapat menghiburkan pendengar.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI