fbpx

Emraz tangguh semua trip umrah bulan Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
– GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Syarikat Emraz Travel and Tours Sdn Bhd (Emraz) memaklumkan bahawa semua trip umrah bulan Syawal
1444H/2023M terpaksa ditangguhkan ke musim 1445H.

Emraz berkata, tarikh penerbangan gantian bagi trip tersebut akan bermula pada bulan Oktober 2023 secara berperingkat- peringkat.

Jelasnya, syarikat akan maklumkan status penerbangan gantian selewat- lewatnya pada bulan Ogos depan iaitu apabila bermulanya musim baru tahun kalendar Islam 1445H.

“Dengan setulus hati, pihak syarikat Emraz terpaksa berterus-terang dengan para jemaah trip umrah bulan Syawal 1444H/2023M sekalian bahawa keputusan penangguhan ini terpaksa dilakukan buat sementara waktu kerana pihak syarikat berada dalam proses penstrukturan dan penyusunan semula syarikat.

“Ia susulan daripada beberapa isu dalaman yang kami hadapi terutama isu melibatkan krisis tiket penerbangan yang dialami syarikat sejak bulan Ogos 2022, Disember 2022 serta Februari lalu.

“Kesan krisis tiket penerbangan tersebut tidak dapat dielakkan dan ia telah memberi implikasi negatif terhadap kewangan dan aliran tunai syarikat,”katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Emraz berkata, syarikat juga terpaksa disusun semula selepas tidak dibenarkan untuk mengendalikan Lesen Pengelola Haji (PJH ) pada tahun ini.

Ujarya, pihak syarikat akan beroperasi secara minima selama tempoh tiga bulan iaitu pada bulan Mei hingga Julai depan sewaktu proses penstrukturan dan penyusunan semula bagi membolehkan syarikat bangkit dengan lebih teguh serta tersusun bermula musim baharu 1445H ( Ogos 2023 ) nanti.

“Antara langkah yang diambil semasa proses tersebut adalah, mengurangkan bilangan pekerja, mendapatkan dana dan pelaburan baharu, mencari rakan- rakan kerjasama strategik yang baharu, pelan pemulihan imej dan lain-lain pelan tindakan yang boleh memulihkan kembali syarikat dengan fokus utama untuk menerbangkan semua jemaah kami ke Tanah Suci pada musim baru 1445H/2023-2024 nanti.

“Bagi menjelaskan situasi yang berlaku dengan lebih lanjut, pihak pengurusan syarikat akan mengadakan satu sesi taklimat kepada semua jemaah bagi menerangkan kronologi yang berlaku secara platform ‘online’ dalam masa terdekat,” ujarnya.-KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI