fbpx

Dibelasah, dicampak bawah jambatan tegur rakan serumah ambil dadah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahmad Ridhwan (kiri) menunjukkan rotan digunakan suspek memukul tukang cuci (kanan).

KUALA LANGAT – Gara-gara menegur rakan serumah mengambil dadah dan mabuk membuatkan seorang tukang cuci dibelasah lima lelaki menggunakan senjata tajam dan rotan dalam kejadian di sekitar daerah ini, baru-baru ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi Khamis lalu, mangsa merupakan seorang wanita berusia 52 tahun itu kemudiannya dicampak kumpulan suspek pada ketinggian kira-kira 50 meter di Jambatan Kampung Sawah Banting.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd. Nor @ Saleh berkata, pihaknya menerima maklumat awam kira-kira pukul 3.25 pagi menyatakan terdengar suara orang meminta bantuan dari bawah jambatan itu.

Katanya, mangsa dikatakan telah sejam berada di situ dengan kecederaan luka akibat ditetak pada tiga jari dan pergelangan tangan kiri.

“Mangsa yang bekerja sebagai tukang cuci di sebuah bank tempatan telah diselamatkan orang awam sebelum dihantar ke Hospital Banting dan hasil siasatan awal kejadian berpunca kerana mangsa menegur tindakan seorang lelaki yang merupakan rakan serumah sewanya yang kerap bising, minum arak dan menghisap dadah di rumah tersebut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas Ahmad Ridhwan, teguran itu bagaimanapun tidak dapat diterima sehingga menyebabkan mangsa dipukul dan dicederakan menggunakan senjata tajam dan rotan.

Ujarnya, kumpulan suspek kemudiannya membawa mangsa menggunakan sebuah kenderaan sebelum dicampakkan di jambatan kampung berkenaan.

“Bertindak maklumat, polis berjaya menangkap lima lelaki berusia 30-an di lima buah rumah sekitar Banting antara pukul 1 tengah hari hingga 6 petang hari sama selain merampas sebuah kenderaan jenis Proton Perdana dan sebatang rotan,” katanya.

Tambah Ahmad Ridhwan, kesemua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah selain tiga suspek positif syabu serta ganja, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 364 dan 326 Kanun Keseksaan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI