fbpx

Kali pertama dengar bunyi bom, berbalas tembakan di Sudan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – “Kalau dengar tembak-tembak itu sudah biasa, tapi kalau perang, berbalas-balas tembakan sampai bom ini kali pertama.”

Demikian luahan seorang pelajar tahun kelima jurusan syariah di International University of Africa(IUA), Khartoum, Sudan yang mahu dikenali sebagai Muhammad, 24, apabila diminta bercerita tentang keadaan semasa di sana.

Menurut Muhammad yang merupakan rakyat Malaysia berkata, ketika kejadian sekitar pukul 9 pagi semalam, dia bersama beberapa rakannya yang lain sedang berehat di rumah mereka yang terletak di daerah Khartoum.

Namun, secara tiba-tiba terdengar beberapa bunyi letupan yang kuat sehingga mengejutkan kesemua ahli di dalam rumah dan kawasan sekitar.

Bagaimanapun, jelasnya, ketika ini pihak Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum telah mengarahkan kesemua pelajar Malaysia yang berada di daerah terlibat untuk kekal di dalam rumah.

“Kami semua diarahkan oleh embassy (kedutaan) untuk tinggal di dalam rumah buat masa sekarang dan mereka sudah tahu keberadaan kami semua di mana,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.

Tambahnya lagi, setakat hari ini bekalan makanan dia dan rakan-rakan serumah masih lagi mencukupi untuk tempoh beberapa hari.

Bercerita lanjut, Muhammad memaklumkan penduduk di sekitar Sudan diberikan notis pemakluman bahawa rangkaian internet akan diputuskan buat sementara waktu.

“Katanya hari ini akan mula diputuskan rangkain internet di sini, tapi belum ada kata putus lagi. Sebab ap dan sampai bila pun saya tak pasti,” jelasnya.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan Kementerian Luar memantau rapi perkembangan krisis di Sudan susulan pertempuran pasukan tentera negara itu dengan kumpulan Rapid Support Forces (RSF).

Menerusi kenyataan Wisma Putra awal pagi tadi, pihak Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum mengesahkan sebahagian besar bandar raya di ibu kota itu masih tegang dan kesemua 29 rakyat Malaysia yang berada di Sudan, dengan kebanyakan ialah pelajar institusi pengajian tinggi, disahkan berada dalam keadaan selamat. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI