PETALING JAYA – Malang menimpa seorang wanita apabila bukan sahaja dicerai buat kali kedua, malah terpaksa melalui detik hitam apabila mendakwa disihir oleh bekas suaminya hingga muntah darah dan badannya berbau hanyir.
Amy, 37, mendakwa, sihir itu berlaku selepas dia didatangi mimpi-mimpi pelik selain gangguan di rumah sewanya kira-kira sebulan sebelum Ramadan.
Katanya, dia mendengar bunyi seolah-olah seseorang di dapur ketika dia berada di ruang tamu selain dua anaknya ternampak kelibat seseorang pada siang hari.
“Gangguan lain yang saya hadapi ialah merasa leher bagaikan dicucuk dengan jarum dan pernah sekali gumpalan rambut terkeluar dari dalam mulut.
“Paling menyakitkan apabila saya muntah darah ketika di tempat kerja. Tak cukup di situ, pernah sekali rakan menegur seperti terhidu bau hanyir ketika kami berada di dalam kereta dan tak lama kemudian saya muntah darah,” katanya.
Menurut Amy, dia ada membuat pemeriksaan di hospital tetapi doktor mengesahkan dia sihat. Keadaan itu membuatkan berat badannya susut beberapa kilogram dalam tempoh dua minggu.
Tambahnya, apa yang membimbangkannya ialah keadaan dua anaknya yang trauma selepas mengalami beberapa siri gangguan tersebut.
“Semua ini berlaku apabila saya mula rujuk semula dengannya pada pertengahan tahun lalu tanpa pengetahuan keluarganya selepas bercerai pada Disember 2021. Kami bernikah kali pertama pada tahun 2010.
“Sebaik rujuk, saya perasan dia berubah menjadi panas baran. Kami bernikah semula senyap-senyap kerana bekas suaminya berjanji akan cuba pujuk keluarganya terutama ibunya yang kuat membantah,” katanya.

Namun, katanya, bekas suaminya bagaikan tidak mengiktirafnya sebagai isteri apabila tidak langsung membawanya pulang ke rumah keluarga lelaki itu.
“Dia hanya membawa dua anak berusia lapan dan 12 tahun dengan alasan tidak mahu pernikahan kedua kami diketahui,” katanya.
Menurut Amy, tidak tahan dengan keadaan itu dia nekad memfailkan cerai di mahkamah hingga mengundang kemarahan lelaki itu.
“Ada ketika saya ketakutan apabila dia merenung saya dengan tajam selama berjam-jam dari ruang tamu. Semasa dalam idah, saya dihalau tetapi mujur ketika itu saya ada membuat laporan polis mengenai kejadian tersebut,” katanya.
Tambahnya, dia kemudian mendapatkan rawatan di Melaka kira-kira dua minggu sebelum Ramadan dan ustaz yang merawatnya mengatakan dia terkena sihir.
“Kini saya sudah pulih selepas mengamalkan beberapa petua dan membaca al-Quran. Saya syak bekas suami marah apabila saya failkan beberapa tuntutan termasuk penjagaan anak-anak di mahkamah,” katanya.
Menurut Amy, dia lega apabila mendapat penjagaan sementara ke atas dua anaknya walaupun sebelum itu bekas suaminya pernah menyembunyikan mereka hingga tidak dihantar ke sekolah.














