“SUAMI yang tidak bertanggungjawab,” itulah kata-kata yang keluar dari mulut seorang wanita yang ingin dikenali sebagai Adila.
Dia memilih untuk dilepaskan kerana sudah tawar hati dengan sikap suaminya yang culas melaksanakan tanggungjawab yang sepatutnya kepada keluarga.
Adila menjelaskan, dia dan suaminya melangsungkan perkahwinan atas dasar cinta antara satu sama lain.
“Kami kenal ketika sama-sama melanjutkan pelajaran di sebuah universiti di utara Semenanjung.
“Hubungan yang berputik itu juga telah membawa kami ke jenjang pelamin,” katanya yang kini berusia awal 30-an.
Setelah berkahwin, Adila merupakan penjawat awam, manakala suaminya bekerja dalam sektor swasta dan mereka tinggal di Lembah Klang.
Sepanjang enam tahun berkahwin, mereka dikurniakan dengan dua cahaya mata.
Namun begitu, sepanjang perkahwinan, Adila dapati bahawa suaminya seorang yang agak berkira dan tidak menunaikan nafkah zahir kepada keluarga dengan sebaiknya.
“Terkadang saya langsung tidak dapat menyimpan dan gaji yang diterima digunakan untuk membayar komitmen bulanan.
“Ansuran rumah, kereta, bayaran asuhan anak-anak dan lain-lain kebanyakan saya yang selesaikan,” jelasnya.
Tambahnya, ada ketikanya, suaminya membantu untuk membayar tetapi itu pun setelah didesak berkali-kali.
Dalam pada itu, Adila ada menawarkan diri untuk berkongsi dengan suaminya bagi membayar komitmen bulanan mereka.
Bagaimanapun, apabila tiba hari gaji, suaminya langsung tidak memberi wang untuk membayar komitmen kepada Adila.
Apabila Adila meminta, suaminya menjawab gajinya kecil dan telah habis membayar hutang motosikal dan kereta miliknya.
“Suami saya tidak sedar diri, dia tahu gajinya tidak tinggi tetapi berlagak untuk guna motosikal berkuasa besar.
“Saya pernah melarangnya untuk membeli motosikal itu, tetapi dia langsung tidak peduli.
“Duit gajinya banyak digunakan untuk dirinya sendiri,” jelasnya.
Adila berkata, pernah satu ketika, dia berasa ingin bercuti ke luar negara bersama keluarganya.
Dia telah menyatakan hasrat itu dan suaminya berjanji untuk sama-sama berkongsi kos percutian berkenaan.

“Apabila dia berjanji sedemikian, saya terus membeli tiket penerbangan untuk kami sekeluarga.
“Malanganya, kos untuk percutian itu sebenarnya ditanggung oleh saya seorang sahaja dan suami saya berjanji akan membayarnya apabila dia ada wang kelak,” terangnya.
Adila menjelaskan, hal tersebut kadangkala membuat mereka bergaduh kecil.
Malah, suaminya turut berkata, dia seorang yang berkira dan suka mengungkit.
“Ketika itu, kami bergaduh besar dan saya minta supaya ‘dilepaskan’ jika dia tidak mampu lagi menunaikan tanggungjawab zahir sebagai seorang suami.
“Dia hanya melaksanakan tanggungjawab itu selama dua bulan sahaja. Selepas itu, dia kembali kepada perangai asalnya,” jelas Adila.
Tambahnya, kadangkala dia menangis bersendirian memikirkan nasib menimpa diri apabila berkahwin dengan suami yang berkira.
Adila juga dapat merasakan, perkahwinan mereka tidak harmoni lagi selepas suaminya mempunyai sifat berkenaan.
“Rasa cinta saya terhadapnya juga sudah hilang kerana sifat tidak bertanggungjawab dalam menyediakan keperluan keluarga.
“Kemudian, saya mengambil keputusan untuk dilepaskan dan saya tekad dengan tindakan berkenaan.
“Apabila rasa cinta dan sayang telah hilang, saya juga sudah tidak percaya dengan janji-janji palsunya,” luahnya dalam nada sebak.
Akhirnya, setelah beberapa kali naik turun mahkamah syariah, akhirnya mereka berdua sah berpisah dengan cara baik.















