fbpx

Kampung Budaya Terengganu dihiasi 5,000 pelita raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadli Yusof (tiga dari kiri) memantau persiapan Pejabat Tanah dan Daerah Hulu Terengganu yang menghasilkan pelita raya diperbuat daripada buah kelapa pada pertandingan Pelita Raya Terengganu di Kuala Terengganu malam tadi.

KUALA TERENGGANU – Kampung Budaya Terengganu yang terletak di Losong di sini bakal dicahayakan dengan lebih 5,000 pelita raya selama lima hari bermula malam ini.

Pengarah Pelancongan Terengganu, Fadli Yusof Zakaria berkata, pertandingan Pelita Raya tersebut bakal menampilkan pelbagai jenis pelita raya tradisional hasil kreativiti lapan pejabat tanah dan daerah di negeri ini.

Beliau berkata, pertandingan tersebut diinspirasikan daripada aktiviti masyarakat setempat pada zaman dahulu yang menghias perkampungan mereka dengan pelita raya pada malam tujuh likur.

“Penganjuran kali ketiga pada tahun ini membawa sedikit kelainan dengan turut menyuntik elemen persembahan dan jualan makanan.

“Setiap daerah akan menampilkan kebudayaan dan makanan tradisional yang popular di kawasan masing-masing,” katanya ketika memantau persiapan akhir pertandingan Pelita Raya di Kampung Budaya Terengganu di sini malam tadi.

Fadli Yusof berkata, antara persembahan kebudayaan yang akan ditampilkan ialah pencak silat, wayang kulit, rebab dan dikir barat.

Tambah beliau, pengunjung juga berpeluang untuk merasai makanan tradisional setempat yang semakin sukar ditemui seperti tonyoh ubi, pulut ikan bakar, loklik, lokan bakar dan lemang.

“Setiap pelita raya yang ditampilkan bercirikan tradisional dan diperbuat daripada bahan-bahan terpakai,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI