fbpx

4 ditahan curi kabel Telekom bernilai RM15,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peralatan yang digunakan untuk mencuri berserta satu beg guni berisi leraian tembaga seberat 350 kilogram (kg) yang bernilai RM11,000.

KUALA LUMPUR – Seramai empat individu lelaki ditahan di lokasi berasingan kerana terlibat dengan kecurian kabel Telekom yang bernilai hampir RM15,000 di Jalan SS15/5G, di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian daripada pengadu lelaki berusia 52 tahun sekitar pukul 1.36 tengah hari.

Katanya, pengadu yang bekerja sebagai Pembantu Pegawai Teknik sebuah syarikat menyedari kabel dicuri sewaktu melakukan pemeriksaan kabel sekitar pukul 12.30 tengah hari pada Rabu.

“Semasa pengadu membuat pemeriksaan kabel milik sebuah syarikat di Subang Jaya, pengadu mendapati beberapa jenis kabel milik syarikat terbabit telah dipotong dan disyaki telah dicuri.

“Kabel bersaiz 0.4 millimeter (mm) dan 0.5mm telah dipotong dan anggaran setiap kabel yang dipotong berukuran lebih kurang 250 meter (m).

“Di dalam kejadian tersebut, syarikat terbabit mengalami kerugian lebih kurang RM15,000,” jelasnya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Wan Azlan, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan atas kesalahan mencuri.

“Tiga lelaki tempatan ditahan di tepi jalan Sungai Kandis, Shah Alam dan seorang lagi di sebuah premis barang lusuh Subang Jaya. Kesemua suspek berumur dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun.

“Kita merampas peralatan digunakan untuk mencuri kabel iaitu dua unit alat mesin leraian tembaga, peralatan memotong wayar, pembuka ‘man hole’ dan satu beg guni berisi leraian tembaga seberat 350 kilogram (kg) yang bernilai RM 11,000.

“Seterusnya, turut dirampas dua buah kenderaan yang digunakan oleh suspek,” ujarnya.

Jelasnya, suspek telah mengaku terlibat dengan kes ini serta lapan kes curi kabel yang lain di kawasan Subang Jaya dengan menggunakan modus operandi sama.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat, diminta menghubungi polis di talian 03-78627100 atau Pegawai Penyiasat, Sarjan Mohd Bukhari Mat Noh di talian 013-4885483,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI