fbpx

Selesai cara baik demi sebuah pendamaian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NUZULSHAM SAMSUDDIN, WARTAWAN EKSEKUTIF

Kes-kes melibatkan mahkamah sudah pasti mengambil masa yang panjang. Tidak kira sama ada kes itu melibatkan jenayah, sivil atau syariah.

Dalam tempoh yang panjang itu, tentu sekali semua pihak yang terbabit terpaksa turun naik mahkamah yang mana ia bukan sahaja memakan masa atau wang ringgit, malah sedikit sebanyak boleh mengganggu komitmen harian.

Namun, masih terdapat jalan penyelesaian daripada kedua-dua pihak untuk menyelesaikan kes melalui penghakiman persetujuan.

Syaratnya, mereka perlu mencapai kata sepakat untuk menyelesaikan kes tanpa sebarang prejudis.

Penghakiman persetujuan bermaksud kes diselesaikan luar mahkamah selepas pihak berkaitan bersetuju dengan terma penyelesaian yang kemudian dibawa di hadapan hakim dan mahkamah cuma merekodkan persetujuan itu.

Dalam kes terbaharu yang berlangsung di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur akhir bulan lalu, ahli perniagaan Datuk S.M Faisal S.M Nasimuddin dilepas dan dibebaskan atas pertuduhan menyebabkan kecederaan ke atas Emilia Hanafi selepas bekas isterinya itu menarik balik kes.

Mahkamah memutuskan demikian selepas membenarkan permohonan peguam yang mewakili tertuduh supaya S.M. Fai­sal dibebaskan berikutan persetujuan Emilia menarik balik kes.

Ini kerana, mahkamah percaya pihak-pihak terlibat telah berdamai dan mencapai jalan penyelesaian.

Sementara, S.M. Faisal ketika ditemui selepas prosiding itu, melahirkan kesyukurannya dan mahu menumpukan perhatian kepada anak-anaknya.

Dalam pada itu, industri hiburan turut disensasikan dengan kemelut rumah tangga antara pengarah filem Syamsul Yusof dengan isteri pertamanya, pelakon Puteri Sarah Liyana yang akhirnya berjaya diselesaikan dengan cara baik di Mahkamah Rendah Syariah di sini.

Ia yang mana pihak-pihak bersetuju untuk menyelesaikan kes penceraian itu dengan terma-terma yang telah dipersetujui. Antara terma-terma penyelesaian itu ialah hadanah, nafkah anak, mutaah, nusyuz dan harta sepenca­rian. Prosiding lafaz cerai itu akan berlangsung pada 18 April ini.

Puteri Sarah ketika ditemui berkata, dengan penyelesaian secara baik, beliau yakin akan membawa kebaikan kepada ke­dua-dua pihak.

“Kita jalani kehidupan masing-masing dengan tenang, kita tidak mahu bermusuhan. Masih boleh jadi kawan. Kita buat untuk anak-anak,” katanya.

Sementara itu, peguam Datuk Akberdin Abdul Kader ketika ditemui berkata, dengan penyelesaian yang baik ini, segala tuntutan nusyuz dan sebagainya daripada pihak-pihak terlibat akan ditarik balik demi kebaikan bersama.

Untuk rekod, Puteri Sarah atau nama sebenarnya Puteri Sarah Liyana Kamaruddin, 38, dan Syamsul atau nama sebenarnya Mohd. Syamsul Mohd. Yusof berkahwin pada 8 Mac 2014 dan hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata Syaikul Islam, 6, dan Summayah, 4.

Sebelum ini, Puteri Sarah selaku plaintif memfailkan permohonan cerai di kaunter pendaftaran Mahkamah Syariah Kuala Lumpur mengikut Seksyen 47, Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1984.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI