fbpx

Jangan ambil serius, Siti Nurhaliza cuma bergurau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SITI berharap gurauannya terhadap Aliff Syukri selaku penyanyi nombor satu tidak mengundang perbalahan dalam kalangan peminat. Foto - MOHD. FIRDAUS MOHD. JOHARI

SHAH ALAM – Penyanyi tersohor negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza menganggap komen yang ditujukan kepada Datuk Seri Aliff Syukri dengan mengakui usahawan sensasi itu sebagai penyanyi nombor satu merupakan hiburan semata-mata.

Justeru, Siti, 44, sangat berharap orang ramai tidak mengambil serius terhadap gurauan yang sememangnya bertujuan untuk menghiburkan peminat.

“Saya rasa respons tersebut lebih kepada hiburan dan gurauan untuk melayani kerenah Datuk Aliff Syukri sahaja kerana saya tahu dia sengaja berbuat demikian.

“Jangan ambil serius dengan apa yang kami bergurau kerana bagi saya perkara tersebut untuk hiburan semata-mata,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui semasa Majlis Iftar Prihatin & Kopena bersama media dan rakan strategi di sini, semalam.

Mengulas lanjut, pelantun lagu Cindai itu berharap peminat tidak bergaduh atau bertikam lidah hanya kerana gurauan yang dibuat olehnya kepada Aliff Syukri dalam Instagram baru-baru ini.

“Janganlah (bergaduh). Kami bergurau-gurau begitulah. Jangan ambil serius. Saya tahu peminat faham gurauan kami,” ujarnya pendek.

Sementara itu, bercakap tentang gelaran sebagai penyanyi nombor satu yang dipegangnya sejak dahulu, Siti berkata, beliau lebih mementingkan hasil kerja yang boleh diterima oleh peminat.

Ibu kepada dua cahaya mata itu menganggap gelaran yang diberi tidak akan kekal dan hanya mahu menumpukan kepada kerjaya yang dibina selama ini.

“Sebetulnya dalam hati saya tidak mahu orang bagi gelaran penyanyi nombor satu pun kerana gelaran tersebut tidak kekal dan tak ke mana.

“Apa yang penting kerja-kerja yang kita buat. Selagi dapat buat terbaik dan orang suka, selagi itu boleh diterima dalam industri,” tuturnya.

Siti pada masa sama, turut meluahkan rasa syukur kerana masih dihargai peminat.

“Saya patut bersyukur peminat menghargai saya dan biar kekal dihargai dengan sesuatu baik dan positif.

“Saya tidak mahu orang mengingati saya dengan perkara tidak elok. Kalau yang baik alhamdulillah,” jelasnya.

Sebelum ini, Aliff Syukri pernah menggelarkan dirinya sebagai penyanyi nombor satu negara berikutan kesemua lagunya trending di tangga pertama dalam YouTube.

Bahkan usahawan itu baru-baru ini meninggalkan komen dalam sebuah hantaran dimuat naik Siti dalam Instagram miliknya dengan bertanya sama ada penyanyi itu mengenali dirinya atau tidak.

“Cantiknya awak idola saya. Awak kenal tak saya artis nombor satu ini,” tanya Aliff.

Siti kemudian membalas komen tersebut dengan mengatakan, semestinya beliau mengenali Aliff selaku penyanyi nombor satu dan mengakui kedudukannya yang berada di belakang usahawan kosmetik itu.

“Mestilah kenal, awak penyanyi nombor satu. Saya di belakang awak ya,” seloroh Siti berserta emoji ketawa. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI