KETIKA karier sedang mekar, Jumaat lalu menjadi hari paling bersejarah buat si cantik Amelia Henderson. Bohonglah tidak sakit. namun bahana yang menerjang dan menghempap batu jemalanya itu bukan satu hukuman ‘mati’. Tewas mempertahankan pelanggaran kontrak, pemilik nama Amelia Thripura Henderson diputuskan mahkamah perlu membayar lebih RM200,000 kepada A. Aida Production.
Tewas, namun jelitawan berusia 28 tahun itu, sepertinya menyifatkan dia kalah dalam menang. Alasannya, ketika berdepan kesukaran tersebut, insan-insan tersayang dalam hidupnya setia berada di samping memberikan sokongan.
Sepenuh hati berasa bangga dengan diri sendiri dan menghormati keputusan mahkamah, Amelia juga tidak menolak untuk terus berjuang mendapatkan keadilan kes terbabit.
“Saya masuk mahkamah tanpa sebarang harapan. Saya sangat bangga dengan diri saya kerana buat perkara yang betul, pada masa sama, perasaan itu juga yang bagi saya kekuatan untuk membuat rayuan.
“Hari ini saya rasa sangat gembira secara sangat peribadi kerana pada masa sangat memerlukan, seluruh keluarga hadir.
“Itulah erti kemenangan sebenar buat diri saya,” katanya dalam nada sedikit beremosi.
Meskipun tewas, Amelia mengakui rasa hormatnya terhadap A. Aida tidak pernah hilang. Dia tetap menghormati penerbit wanita itu sebagai individu lebih senior dalam industri.
“Saya tak ada satu patah perkataan negatif pun untuk diungkapkan mengenai beliau. Saya harap semua orang faham ini adalah percanggahan pendapat profesional.
“Saya hormati semua orang dalam industri ini baik A. Aida atau siapa pun yang saya pernah bekerjasama,” katanya penuh positif.

Dibuli mental, emosi
Cukuplah kisah kekalahan di mahkamah yang sebetulnya masih mahu diteruskan, Amelia berbicara tentang beberapa perkara ‘penting’ lain, termasuk hubungan istimewa yang kembali terjalin dengan Aedy Ashraf, impian ratu cantik, kisah dibuli ketika di bangku sekolah dan kemungkinan memasuki dunia politik kelak.
Mendapat pendidikan di sebuah sekolah antarabangsa ketika kecil, Amelia mendedahkan, dia dibuli, namun bukan secara fizikal tetapi dari segi mental.
“Saya pernah mendapat pendidikan di sebuah sekolah antarabangsa.
“Sangat mahal. Keluarga saya waktu itu pun ada kesulitan tersendiri. Tapi, kami sedar yang di luar sana ada lagi orang atau keluarga yang lebih susah.
“Akan ada juga orang yang lebih senang. Di posisi sekarang, saya memang sangat berbangga dengan segala kemajuan yang saya kecapi.
“Bukan nak bandingkan diri dengan sesiapa.
“Tetapi, berbanding dahulu, saya sekarang jauh berbeza dari segi keyakinan diri dan pertuturan bahasa Melayu. Dahulu saya pelat,” cerita Amelia.
Itu dahulu, sekarang bermacam kejayaan telah digapai wanita berwajah Pan Asian itu.

Miss Universe demi datuk
Antara yang paling rapat ingin dikecapi pada masa kan datang adalah kemungkinan menyertai pertandingan ratu cantik, Miss Universe Malaysia.
Jika tiada halangan dia bersedia menyertai pertandingan yang menjadi impian ramai wanita itu tahun ini.
“Waktu saya membesar, memang impian saya untuk jadi ‘Miss Universe’. Apabila sudah dewasa dengan kehidupan dan peribadi, saya rasa, mungkin rezeki saya bukan ke arah itu.
“Saya cakap pada diri, tak apa. Kalau saya kerja keras, akan dapat juga rezeki itu pada kemudian hari nanti. Mungkin rezeki saya di tempat lain.
“Sehinggalah saya dengar penganjur dah ubah syarat, antaranya umur 28 tahun masih boleh sertai pertandingan tersebut.
“Tahun ini umur saya 27 tahun dan ini mungkin peluang terakhir saya,” jelasnya.
Menyedari usia semakin meningkat, faktor tersebut mendorongnya segera melunaskan impian yang bukan kemahuan peribadi, bahkan orang tersayang iaitu datuknya yang sudah menjangkau usia 94 tahun.
“Datuk saya sudah 94 tahun, pandangan dan pendengarannya juga sudah kurang jelas.
“Ibu saudara saya ada hantar sebuah video bertanya kepada datuk, sama ada patutkah saya sertai Miss Universe Malaysia? Dia terus setuju dan cakap saya patut cuba nasib.
“Lagilah saya tertarik. Bagi saya itu sebuah doa daripada datuk saya. Sekarang saya serba-salah kalau tak tunaikannya. Kita tengoklah nanti,” katanya.

Berbikini
Turut mengambil kira prinsip yang diperjuangkan dalam pertandingan, terutama soal pemerkasaan wanita dalam membuat pilihan, termasuk segmen memperagakan pakaian dalam atau berbikini, begini pendapat Amelia.
“Pemerkasaan wanita merangkumi kemampuan dan kebolehan wanita untuk memilih. Kalau orang suruh saya berbikini, mungkin susah untuk saya terima.
“Saya tak nak buat sesuatu yang saya buat rasa tidak selesa.
Tapi kalau saya ada kuasa memilih di situ, itu yang akan menentukan keselesaan untuk betul-betul ambil keputusan menyertainya.
“Kalau pilihan saya tak didengari dan terpaksa melakukan sesuatu demi puaskan pihak tertentu, saya takkan masuk.
“Lebih baik saya fokus pada rezeki yang ada sekarang, sudah cukup,” katanya menggulung bicara.














