fbpx

Taska didakwa dera bayi diarah tutup sementara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Sebuah taska yang didakwa berlaku kes penderaan kanak-kanak sebagaimana tular di media sosial baru-baru ini di arah ditutup sementara.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) berkata, hasil pemeriksaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) pada 29 Mac lalu mendapati berlaku ketidakpatuhan kepada Akta Taska 1984.

Katanya, pengusaha taska berdaftar dengan JKM itu diberi notis peringatan membuat penambahbaikan dengan kadar segera.

Menurutnya, proses penutupan sementara itu bagi tujuan menyediakan persekitaran selamat untuk kanak-kanak dan meningkatkan kualiti pengasuhan di taska tersebut.

“Dalam pengurusan taska, bidang kuasa JKM adalah tertakluk kepada Akta Taman Asuhan Kanak-kanak 1984 iaitu membuat pendaftaran, pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas taska.

“Dalam isu keselamatan kanak-kanak, KPWKM melalui JKM merujuk kepada Akta Kanak-Kanak 2001 tidak akan berkompromi mengenai keselamatan mereka,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

KPWKM berkata, pengusaha taska bertanggungjawab memantau tugas pengasuh bagi memastikan kanak-kanak berada dalam keadaan selamat di bawah jagaan taska.

Jelasnya, sekiranya terdapat kecuaian pengasuh yang mengakibatkan kecederaan kepada kanak-kanak, tindakan segera dengan melaporkan kepada JKM dan pihak polis.

“Dalam isu taska tular ini, JKM akan bekerjasama dengan pihak polis untuk memastikan kanak-kanak yang menjadi mangsa mendapat keadilan sewajarnya.

“Kementerian meminta kerjasama daripada semua pihak terutamanya ibu bapa untuk melaporkan sebarang isu berkaitan kanak–kanak kepada pihak berkuasa PDRM atau menghubungi Talian Kasih di nombor 15999,” katanya.

Laporan juga boleh dibuat melalui aplikasi WhatsApp 019–2615999 yang beroperasi 24 jam sehari atau terus mengunjungi mana-mana Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah yang terdekat.

Terdahulu, satu hantaran dimuat naik seorang wanita mengenai bayi perempuannya berusia satu tahun sebulan dipercayai didera dengan dicubit, dicakar dan digigit ketika dalam jagaan di sebuah taska di Putrajaya tular di media sosial, baru-baru ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI