fbpx

EPL: Manchester United mudah benam Everton 2-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Martial meraikan gol yang dilakukan ke atas Everton sebentar tadi.

MANCHESTER – Pasukan Manchester United terus kukuhkan cengkaman di kedudukan dalam usaha meraih slot automatik ke kancah Liga Juara-Juara Eropah selepas menewaskan Everton 2-0 pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Old Trafford itu, skuad The Red Devils kendalian Erik Ten Hag membariskan kesebelasan terbaik dengan jentera serangan dikemudi oleh Antony, Marcus Rashford dan Jadon Sancho.

Rashford meraih peluang awal menerusi percubaan satu lawan satu tetapi rembatan yang dilakukan pada minit ke-8 berjaya ditepis penjaga gol Everton, Jordan Pickford.

United semakin garang dan kali ini giliran pemain pertahanan, Aaron Wan-Bissaka untuk terlepas peluang keemasan ketika pintu gol sudah terbuka apabila sepakan yang dilakukannya tersasar berselang empat minit kemudian.

Gol yang dinantikan akhirnya tiba pada minit ke-36 hasil rembatan yang dilakukan oleh Scott McTominay selepas menyudahkan hantaran Sancho untuk memastikan United mendahului pada babak pertama.

Bersambung pada separuh masa kedua, Everton yang dikendalikan oleh Sean Dyche membuat rombakan dalam kesebelasan utama dengan memasukkan pemain seperti Tom Davies dan James Garner.

Namun, situasi kekal tidak berubah apabila pasukan tuan rumah masih mendominasi sebahagian besar perlawanan.

United mengesahkan kemenangan apabila penyerang gantian, Anthony Martial meledak gol kedua selepas menerima hantaran Rashford untuk meletakkan kedudukan 2-0 dan kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan tersebut menyaksikan United meraih 56 mata selepas mengharungi 29 perlawanan manakala Everton kekal dengan 27 mata. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI