fbpx

Sindiket bekal PATI guna pelekat palsu PLKS tumpas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada warga asing ditahan kerana menggunakan pelekat palsu PLKS untuk bergerak bebas di negara ini. - Foto ihsan JIM

PUTRAJAYA – Taktik sebuah sindiket membekalkan pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan pelekat palsu Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) ditawarkan pada harga RM6,000 tumpas apabila diserbu Jabatan Imigresen (JIM) pada 5 dan 6 April lalu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Ruslin Jusoh berkata, sindiket didalangi warga asing itu diserbu menerusi operasi dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Perisikan dan Operasi Khas JIM serta dibantu Bahagian Penguatkuasaan, Putrajaya.

“Pasukan operasi menyerbu sebuah kilang dan asrama pekerja asing di Selangor serta pejabat operasi sindiket yang terletak di kawasan Brickfields, Kuala Lumpur.

“Dalam serbuan itu, pasukan operasi menahan seramai 65 orang PATI melibatkan 43 orang lelaki warga negara India, 20 orang lelaki warga negara Bangladesh dan dua orang lelaki warga negara Pakistan berumur dalam lingkungan 25 hingga 45 tahun,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.

Jelasnya, dalang utama sindiket seorang lelaki warga negara India turut ditahan dalam serbuan berkenaan.

“Hasil semakan awal mendapati suspek berusia 45 tahun itu memegang Pas Ekspatriat tulen. Hasil soal siasat dan pengakuan suspek, pasukan operasi telah bergerak ke Seremban dan berjaya menahan seorang lelaki warga negara Bangladesh merupakan orang kanan sindiket.

“Semakan mendapati suspek berusia 30 tahun telah menggunakan PLKS untuk bergerak bebas di negara ini,” tegasnya.

Katanya, modus operandi sindiket ialah menubuhkan syarikat membekalkan tenaga kerja asing dan menawarkan tenaga kerja kepada majikan serta kilang yang memerlukan.

“Sekiranya dipersetujui, sindiket akan membekalkan pekerja asing yang diberikan pelekat PLKS palsu agar majikan atau kilang mempercayai bahawa mereka merupakan pekerja sah berdasarkan pelekat tertera di pasport.

“Sindiket akan mengenakan bayaran sebanyak RM6,000 untuk setiap pekerja warga asing yang inigin mendapatkan PLKS bagi membolehkan mereka bekerja di kilang tersebut.

“Sementara majikan atau kilang yang menggunakan pekerja asing ini perlu membayar gaji pekerja kepada syarikat sindiket berkenaan,” jelasnya.

Dalam pada itu, sindiket itu juga dipercayai mengaut keuntungan sebanyak RM4.5 hingga RM5 juta setahun hasil kegiatan haram dilakukan.

Kesemua ditahan disyaki melakukan kesalahan dibawah Akta Imigresen 1959/63, Peraturan-peraturan Imigresen 1963 dan Akta AMLATFPUAA 2001.

Mereka ditahan di Depot Imigresen Semenyih untuk siasatan dan tindakan lanjut. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI