fbpx

Amelia Henderson diperintah bayar ganti rugi lebih RM200,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Amelia Henderson.

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen Sivil di sini, memerintahkan pelakon Amelia Henderson perlu membayar ganti rugi lebih RM200,000 terhadap syarikat produksi A.Aida Production Sdn. Bhd. berhubung isu pelanggaran kontrak sebuah drama tahun lalu.

Hakim Zulqarnain Hassan memerintahkan demikian selepas membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan syarikat produksi itu selaku plaintif terhadap saman yang dikemukakan kepada Amelia selaku defendan.

Dalam penghakimannya, hakim itu berkata, mahkamah mendapati Amelia telah diikat dengan kontrak yang ditandatangani dalam drama Sekali Lagi Cinta Kembali.

“Mahkamah telah meneliti kontrak yang ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak (plaintif dan defendan). Menolak terma kontrak bukan lagi suatu pilihan, tiada alternatif pada defendan setelah menurunkan tandatangan, defendan hendaklah menunaikan kontrak. Dengan perkataan lain, hanya satu pilihan pada defendan iaitu tunaikan kontrak yang ditandatangani.

“Atas imbangan kebarangkalian, mahkamah berpuas hati plaintif (syarikat produksi A.Aida) berjaya membuktikan tuntutan,” kata hakim itu.

Mengulas lanjut dalam penghakimamnya mahkmah turut mendapati dalam keterangan di mahkamah Amelia sendiri bersetuju membintangi drama itu selain turut bersetuju watak yang ditawarkan iaitu “Aira” yang mana Amelia adalah heroin dalam drama itu.

Justeru mahkamah memerintahkan Amelia membayar ganti rugi am selain faedah 5% kepada plaintif yang kesemuanya berjumlah lebih RM200,000.

Dalam prosiding hari ini peguam Ashmadi Othman mewakili syarikat produksi itu selaku plaintif manakala Wan Nurliyana Abdul Rahman yang mewakili Amelia selaku defendan.

Untuk rekod sepanjang perbicaraan yang bermula 1 November tahun lalu, seramai tiga saksi daripada plantif termasuk A.Aida atau nama sebenarnya Datuk Zaidah Awang, 53, dan tiga saksi defendan termasuk Amelia sendiri hadir untuk memberi keterangan.

Semasa perbicaraan seorang pengurus syarikat produksi memberitahu bahawa A.Aida Production Sdn. Bhd. terpaksa menanggung kerugian akibat pelanggaran perjanjian yang dilakukan Amelia.

Sementara Amelia atau nama sebenarnya Amelia Thripura Henderson, 28 tetap dengan pendirian menafikan melanggar kontrak ketika dia menerima tawaran dan membintangi drama berjudul Sekali Lagi Cinta Kembali.

Sebelum ini media melaporkan Amelia dan pelakon Idris Khan berdepan dengan tindakan saman daripada A. Aida kerana didakwa melanggar kontrak perjanjian sebuah drama seperti yang sudah ditandatangani sebelum ini.

A. Aida bersama sutradara drama, Sekali Lagi Cinta Kembali iaitu Rizal Baharuddin, sepakat membawa perkara tersebut ke muka pengadilan sekaligus memberi pengajaran kepada dua pelakon terbabit.

Bagaimanapun, saman melibatkan A.Aida dan Idris Khan berakhir dengan baik apabila kedua-dua pihak bersetuju menyelesaikannya di luar mahkamah sementara Amelia memilih untuk melawan kes saman itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI