fbpx

Peniaga mercun cedera dipukul beramai-ramai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
LIMA lelaki ditahan selepas bertindak memukul seorang peniaga mercun di sebuah Bazar Ramadan di Kulai, kelmarin.

KULAI – Seorang peniaga mercun cedera selepas diserang sekumpulan lelaki ketika sedang melakukan urusan jual beli di Bazar Ramadan di Jalan Merbau, Bandar Putra, di sini kelmarin.

Ketua Polis Daerah Kulai, Superintendan Tok Beng Yeow berkata, mangsa seorang lelaki tempatan berusia 41 tahun membuat laporan polis berhubung kejadian itu, semalam.

“Mangsa memberitahu ketika sedang berniaga pada pukul 10.45 malam kelmarin, dia bersama tiga rakannya didatangi empat individu dan mereka berbincang berkenaan perniagaan mercun di bazar tersebut.

“Salah seorang suspek bertindak menendang mangsa di bahagian dada menyebabkanya terjatuh sebelum diserang beberapa individu lain termasuk menggunakan sebatang kayu.

“Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian kepala, muka, tangan, serta tubuh badannya. Dia telah mendapatkan rawatan di Hospital Kulai,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Tambah Beng Yeow, mangsa turut memberitahu dalam kejadian itu, dia turut mengalami kerugian sebanyak RM5,405 dipercayai dicuri sekumpulan suspek terbabit.

“Bertindak atas maklumat, polis menjalankan empat serbuan di lokasi berasingan semalam, sehingga berjaya menahan seramai lima individu berusia antara 18 hingga 47 tahun.

“Kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” jelasnya.-KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI